DUA pelakon Malaysia iaitu Azira Shafinaz dan Fabian Loo mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) di Genting Highlands, Pahang, malam tadi.
Azira berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya menerusi filem seram, Indera arahan Woo Ming Jin.
“Pertama sekali, saya tidak tahu nama saya tercalon dalam kategori ini.
“Jadi, ini seperti kejutan besar. Terima kasih kepada APFF atas penghargaan yang besar ini.
“Saya sangat berbesar hati dan merendah diri menerima anugerah ini,” katanya ketika berucap di atas pentas sebaik menerima trofi kemenangan.
Dalam pada itu, Loo yang tidak dapat hadir dan diwakili pengarah filem lakonannya Rain Town iaitu Tengku Mona.

Pada acara itu, filem yang menjadi sebutan dunia, How To Make Millions Before Grandma Dies diumum Filem Terbaik.
Sementara filem dari Thailand itu turut mengungguli trofi Aktor Terbaik menerusi lakonan mantap Putthipong Assaratanakul dan kategori Lakon Layar Terbaik.
Manakala filem The Last Dance berjaya memenangi kategori trofi utama iaitu Pengarah Terbaik yang diraih Anselm Chan Mou Yin dan Aktres Terbaik (Michelle Wai).
Sementara itu, pelakon legenda yang sering melakonkan watak aksi, Sammo Hung menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Sammo sebelum ini popular menerusi filem Painted Faces (1988) dan Wheels On Meals (1984).
Turut diberi penghormatan adalah pelakon, pengarah dan penerbit filem terkemuka Hong Kong, Raymond Wong Pak Ming yang menerima Anugerah Pembikin Filem Cemerlang.

Sebanyak 20 buah negara mengambil bahagian dalam penganhuran APFF di mana Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi tahun ini.
Sebelum ini, Malaysia pernah menjadi tuan rumah APFF sebanyak lima kali dan kali terakhir pada 2005.
Sebanyak 40 filem hingga 50 filem dipertandingkan dalam anugerah yang mempertaruhkan sebanyak 21 kategori itu.
APFF adalah salah satu festival filem tertua dan paling berprestij di rantau ini, yang diasaskan pada 1953.
Diadakan secara tahunan, APFF dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) serta dihoskan pelbagai lokasi bandar di 25 negara dan wilayah berbeza.
Senarai Pemenang
Filem Terbaik: How To Make Millions Before Grandma Dies – Thailand
Pengarah Terbaik: Anselm Chan Mou Yin (The Last Dance) – Hong Kong, China
Aktor Terbaik: Putthipong Assaratanakul (How To Make Millions Before Grandma Dies – Thailand
Aktres Terbaik: Michelle Wai (The Last Dance) – Hong Kong, China
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Fabian Loo (Raintown) – Malaysia
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Azira Shafinaz (Indera) – Malaysia
Lakon Layar Terbaik: Thodsapon Thiptinnakorn, Paat Boonnitipat (How To Make Millions Before Grandma Dies – Thailand
Sinematografi Terbaik: Joseph Christoforus Fofid (Woman From Rote Island) – Indonesia
Penyuntingan Filem Terbaik: William Chang Suk Ping, Curran Pang (The Last Dance) – Hong Kong, China
Skor Muzik Asal Terbaik: Indraadip Dasgupta (Padatik) – India
Kesan Bunyi Terbaik: Book Chien, Sun Sy-Yuan, Thang Hsiang-Chu (Eye of The Storm) – Taiwan
Kesan Visual Terbaik: Archin Yen (Eye Of The Storm) – Taiwan
Pengarah Seni Terbaik: Yiu Hon Man (The Last Dance) – Hong Kong, China
Solekan dan Kostum Terbaik: Somnath Kundu, Sabarin Das (Padatik) – India
Koreografi Aksi Terbaik: Blue Room – Filipina
Filem Pendek Terbaik: The Lonely Piano
Media Baharu Terbaik: Wo Long Feng Chu
Anugerah Khas Juri: Filem Emp4T Singapura, Malaysia
Anugerah Khas Juri: Filem Side-Seeing The Movie – Vietnam, Thailand
FPA Paling Cemerlang: Anugerah Pembikin Filem Cemerlang / Raymond Wong Pak Ming
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Sammo Hung

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

