PELAKON dan model, Zahnita Wilson mengejutkan orang ramai dengan perkongsian foto bahagian mata kirinya yang lebam di akaun Instagram miliknya, hari ini.
Menurut Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, mendakwa ia bukanlah kejadian pertama dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sebaliknya kata Zahnita, dia sudah berdepan dengan insiden sama beberapa kali sejak 20 tahun berkahwin dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse.
Malah dia sudah buntu mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya termasuk sudah membuat laporan polis namun mendakwa tiada tindakan diambil.
“Selama ini saya dipukul saya ada buat laporan polis tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Malah tindakan itu berbalik kepada saya, sangat gila,” katanya memetik laporan mStar.
Zahnita juga memberitahu dia sudah cuba sedaya upaya mempertahankan rumah tangga mereka namun usaha dilakukan sia-sia.
Malah, dia juga pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Abdul Zackery namun selepas suaminya memujuk dia mengambil keputusan kembali berbaik.
Bagaimanapun dia kecewa apabila suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan malah terus-terusan mengulangi kesilapan sama.
“Selama ini saya cuba untuk mempertahankan rumah tangga kami. Saya juga pernah minta cerai tetapi dia menjanjikan bumi dan langit.
“Tetapi tidak lama, dia ulang semula perbuatan mengasari saya. Sudah 20 tahun saya bertahan, cukuplah!
“Saya sedang menunggu wakil peguam datang dari Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Zahnita menjelaskan dia terpaksa mendedahkan perbuatan suaminya kerana ingin mendapatkan semula anak sulungnya iaitu Zahrafeena, 17, yang kini berada bersama Zackery sejak seminggu lalu.
Pendedahan itu juga dibuat kerana mahu memberi kesedaran kepada golongan wanita yang dianiaya suami sendiri untuk bangkit dan bersuara mengenai keganasan rumah tangga.
“Saya mahukan anak saya… Sudah seminggu lebih dia ambil anak saya dan saya sudah tidak tahu apa lagi nak buat.
“Saya terpaksa buka aib, maaf saya tidak boleh simpan lagi. Sudah 20 tahun saya bersabar.
“Sebagai wanita saya juga ingin beri kesedaran kepada semua terutamanya yang senasib dengan saya agar terus bersuara dan jangan diam,” ujarnya.
Pergaduhan di antara mereka tercetus apabila dia membangkitkan isu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Untuk rekod, pada 2013, Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor.
Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada 2005 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.
SUMBER: mStar

