Terus tabur bakti, Datuk Dollah Salleh dilantik Ikon Glocal Football Academy. Mahu cungkil bakat muda bola sepak

Dari Penulis

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh terus mencurahkan khidmat demi melahirkan pelapis bola sepak yang berkaliber. Ia bertepatan dengan pelantikannya sebagai Ikon Glocal Football Academy bagi membimbing dan mencungkil bakat pemain muda bawah 12 tahun.

Kata Dollah, Malaysia ketandusan pemain pelapis bola sepak dan ini merupakan peluangnya melatih dan sekaligus mencari pemain berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan.

“Saya sangat teruja apabila melihat banyak pasukan anak muda yang menyertai kejohanan Rising Star Grassroots Tournament. Dan sewaktu memantau mereka bermain tadi, saya dapat kenalpasti beberapa pemain berbakat.

“Bola sepak ini bukan sekadar sukan berpasukan namun ia dapat membentuk keyakinan diri dan skil membuat keputusan. Itu yang dicari di kalangan pemain muda.

“Kita ketandusan pemain pelapis bola sepak negara dan kalau boleh saya memang nak lihat pemain tempatan yang lebih menyerlah di arena bola sepak,” kata pengurus bola sepak pasukan Sri Pahang ini.

Kata Dollah lagi, sukan bola sepak bukan hanya mampu meningkatkan kecergasan malah membina kemahiran komunikasi, serta mengajar nilai-nilai seperti disiplin, kepimpinan dan etika.

“Melalui sukan, anak-anak bukan sahaja dapat memperkukuh asas kejayaan masa depan, malah menjadi individu yang seimbang dan berdaya saing. Bola sepak juga melatih anak-anak dalam pengurusan emosi, meningkatkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kesukanan.

Dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak negara, Glocal Football Academy telah menganjurkan kejohanan Rising Star Grassroots Tournament yang mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat dan luar daripada Lembah Klang.

Kejohanan itu berjaya menghimpunkan lebih 500 pemain muda berusia bawah 12 tahun dari pelbagai pasukan sekitar Lembah Klang, Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Ia bertujuan memberi peluang kepada pemain cilik untuk mempamerkan bakat mereka sambil merasai pengalaman bersaing di peringkat kompetitif.

Pengerusi Glocal Football Academy, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada misi akademi untuk mengembangkan sukan bola sepak dan seterusnya dapat membentuk asas yang kukuh bagi pembangunan sukan tersebut.

“Kejohanan ini menjadi platform pemain muda membina asas dalam bola sepak dan mengembangkan bakat mereka. Aktiviti ini bertujuan membentuk disiplin, meningkatkan keyakinan diri, dan memberikan alternatif aktiviti yang bermanfaat untuk kanak-kanak di kawasan bandar yang kurang kemudahan sukan.

(Dua dari kiri) Ikon Glocal Football Academy Datuk Dollah Salleh bersama Pengerusi Glocal Football Academy, Datuk Mohd Idzham (dua dari kanan) bersama rakan-rakan.

“Kami juga merancang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan berprestij dengan kemungkinan mewujudkan liga bola sepak di masa hadapan. Kami berharap dapat menarik lebih banyak penyertaan dan mungkin membawa kejohanan ini ke peringkat negeri sebelum mengadakan final di Kuala Lumpur.

“Glocal Football Academy juga berharap kami dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu bersinar di pentas antarabangsa. Selain itu, sebuah klinik bola sepak percuma juga dirancang sebagai inisiatif untuk mendedahkan kanak-kanak kepada asas-asas bola sepak selain membuka peluang untuk kanak-kanak sekitar Lembah Klang menyertai kelab ini,” katanya ketika ditemui pada kejohanan yang berlangsung di Brainy Bunch Sport Park, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Datuk Mohd Idzham (jersi hitam) bersama jurulatih dan pemain-pemain Glocal Football Academy.

Mohd Idzham turut mengulas perlantikan Datuk Dollah Salleh sebagai Ikon Glocal Football Academy yang disifatkan sangat bersesuaian memandangkan legenda bola sepak itu mampu memberi inspirasi kepada pemain muda.

“Pelantikan Datuk Dollah Salleh sebagai Ikon merupakan strategi kami untuk menanam semangat dalam diri pemain muda. Mereka menjadikan dia sebagai idola.

“Kami juga dalam perancangan membuka klinik bola sepak dengan intipati utama supaya Datuk Dollah Salleh dapat memberi motivasi dan berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi pemain bola sepak,” tambahnya lagi.

Buat masa ini, akademi tersebut mempunyai lapan jurulatih berpengalaman yang berdedikasi dalam pembangunan bola sepak. Mereka melatih lebih 80 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun bagi membentuk dan melahirkan barisan pelapis pemain bolasepak yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berintegriti tinggi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Nafuzi Zain kembali kendali Terengganu FC

BEKAS jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Mohd Nafuzi Mohd Zain atau Nafuzi Zain kembali semula menerajui Terengganu FC...

More Articles Like This