Bermatlamatkan memperkasa ekonomi usahawan setempat, Karnival Pemerkasaan Ekonomi Digital memberi peluang kepada komuniti usahawan dan vendor tempatan untuk meningkatkan perniagaan mereka melalui pelbagai aktiviti menarik. Seramai lebih 100 usahawan daripada pelbagai bidang menyertai Karnival Pemerkasaan Ekonomi 2024 bertempat di UTM Hotel & Residensi, di sini bermula 20 hingga 22 Disember.

Ketua Operasi Khalifah World Global, Sharifah Anizah Al Hady berkata, karnival yang pertama kali dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pendidikan dan memberdayakan pemilik perniagaan serta vendor dengan menyediakan platform untuk usahawan mengintegrasikan teknologi terkini, mengekalkan kestabilan perniagaan, dan memperluas rangkaian mereka melalui pelbagai aktiviti yang menarik.
“Ini merupakan kerjasama dengan pihak universiti bagi memberikan pendedahan kepada pelajar dalam bidang perniagaan untuk menganjurkan sesebuah acara besar.
“Selain pemerkasaan ekonomi, antara acara utama adalah makan malam gala, pameran keusahawanan, pertandingan boling dan snuker, pertandingan e-sukan serta seminar informatif yang akan dikendalikan oleh agensi-agensi Kerajaan.

“Kami juga berharap agar aktiviti ini dapat menarik usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka kerana ini dapat membantu memudahkan jaringan perniagaan dan memberi panduan berguna mengenai inisiatif kerajaan yang menyokong keusahawanan di Malaysia,” katanya.
Sharifah Anizah juga memberitahu, karnival yang berlangsung selama tiga hari ini menyediakan bengkel mengenai pemasaran digital dan kecerdasan buatan (AI) yang akan memberi peluang kepada usahawan untuk memperkukuh kehadiran dalam talian, meningkatkan penglibatan pelanggan, dan memanfaatkan teknologi AI dalam membuat keputusan yang lebih baik serta meningkatkan kecekapan operasi.

“Karnival ini bukan sahaja menjadi platform bagi pameran produk dan perkhidmatan, tetapi juga tempat di mana usahawan tempatan boleh mendapat ilmu dan sokongan dalam mengembangkan perniagaan mereka melalui pembiayaan, teknologi, dan kemahiran pengurusan yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan penghargaan buat penaja utama, Provident Banc Berhad (PBB), yang memberi peluang kepada usahawan dan vendor tempatan untuk akses kepada peluang perniagaan dan pendidikan.
“Keberadaan PBB sebagai penaja utama akan memberi impak yang besar kepada karnival ini, terutamanya dalam memperkenalkan penyelesaian kewangan yang relevan kepada para usahawan yang sedang berkembang. Kami amat berterima kasih atas sokongan mereka dalam menjayakan acara ini,” katanya.

Pengarah Urusan PBB, Ravin Raghu Warren berkata, pihaknya komited untuk membantu memberi sokongan dalam pembangunan usahawan tempatan.
“Sebagai institusi kredit swasta yang terkenal dengan komitmen terhadap pembangunan ekonomi dan keusahawanan tempatan, kami sedia untuk membantu memperkenalkan lebih banyak inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada usahawan, khususnya dalam sektor perniagaan mikro dan kecil.
“Kami amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada Karnival Pemerkasaan Ekonomi kerana ia seiring dengan visi kami untuk memberi sokongan kepada usahawan tempatan,” katanya.

