PELAKON Hannah Delisha menyokong kempen menyelamatkan kucing terbiar yang ketika ini sedang menjadi topik utama di platform media sosial.
Ia susulan insiden kematian beberapa ekor kucing di Universiti Malaya yang kini sudah menjadi isu besar dan turut mendapat campur tangan daripada pihak polis.
Hannah berpendapat, sebagai makhluk Allah, wajib untuk sesama kita memberi pelindungan sewajarnya termasuklah haiwan.
Pelakon Lelaki Itu akui salah seekor dari tiga ekor kucing yang dibelanya itu diselamatkan di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada awal tahun ini.
“Saya berhentikan kereta di tepi jalan semata-mata nak selamatkan anak kucing ‘calico’ dan bawa pulang ke rumah.
“Saya kasihan dengan keadaan anak kucing yang masih kecil berada di jalan raya yang sangat besar sekaligus membahayakan nyawanya.
“Masa tu, saya fikirlah siapa yang zalim sangat tergamak tinggalkan anak kucing di tengah lebuh raya. Tapi bila tengok semakin kucing tu membesar, makin nakal, saya rasa ia bukan dibuang tapi mungkin naik sendiri atas jalan raya itu,” katanya kepada URTV yang menamakan kucing tersebut sebagi Dashy sempena nama lebuh raya yang menjadi lokasi pertemuan.
Hannah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran dua produk CONBOO iaitu Beau3 Milk dan wangian CONBOO Scents di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, petang tadi.
Hadir sama ialah Pengerusi CONBOO International, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Pengarah CONBOO International, Muhammad Arif Amirul Shahrudin, Mohamad Noor Syauqi Mohammad Shafiee serta Muhammad Fitri Mazni.
Sementara itu, Hannah menyarankan pencinta haiwan berbulu seperti kucing agar memberikan kasih sayang dengan ikhlas selain menjaganya seperti ‘anak’.
“Saya faham ada sesetengah orang mungkin sukakan kucing yang comel dan mahal, tapi kalau berkemampuan selamatkan dahulu kucing-kucing terbiar.
“Jagalah seikhlas hati dengan memberi tempat perlindungan selesa dan makanan mencukupi seperti kita menjaga anak.
“Satu lagi jangan jaga separuh jalan. Kenalah berikan komitmen sepenuhnya kepada kucing yang diselamatkan.
“Walaupun hanyalah haiwan, tapi kucing pun ada perasaan sama seperti kita,” ujarnya.
Terdahulu, kempen menyelamatkan kucing terbiar di media sosial menjadi tular susulan insiden beberapa bangkai kucing ditemui mati di dua lokasi berasingan di Universiti Malaya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bangkai kucing yang ditemui sudah dihantar ke makmal veterinar untuk pemeriksaan serta proses bedah siasat.
Selain itu, polis telah merakam keterangan tujuh individu terdiri daripada pensyarah, penuntut Universiti Malaya dan seorang aktivis haiwan berhubung kes kematian kucing terbabit.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

