Sejalur cahaya di sebalik tirai besi 

Dari Penulis

Tembok batu ini banyak menyimpan rahsia tentang diriku. Di sini aku temui cinta terindah yang tidak pernah dijangka. Aku berada di sini kerana kesilapan sendiri. Disabitkan kesalahan, aku dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan. Perasaan ngeri setiap kali mengingati saat itu menghantuiku sehingga ke hari ini.

Sebelum ini sudah banyak kali aku melakukan kesalahan yang sama, namun seringkali terlepas. Dalam usia yang masih remaja, bermacam-macam yang aku lakukan. Tidak pernah terdetik di hati untuk berubah. Nasihat ibu dan ayah bagaikan angin lalu yang tidak sedikit pun meninggalkan kesan, sehinggalah aku tertangkap.

Namun dari sudut yang lain, aku bersyukur kerana ada rahmat di sebalik kejadian itu. Beberapa tahun di sini, banyak pengajaran yang aku peroleh di bilik sempit ini. Aku ditempatkan bersama tiga orang teman. Aku sering melihat mereka solat berjemaah sehingga aku dapat menghafal surah al-Fatihah yang mereka baca walaupun tidak faham maknanya.

Setelah beberapa tahun bersama, entah kenapa suatu hari, hatiku bergetar tatkala mendengar mereka mengangkat takbiratul ihram dan berkata, “Allahu akbar”. Pada mulanya aku tidak faham erti getaran itu. Jauh di sudut hati aku berfikir kenapa ia berlaku?. Perkara itu berlarutan selama beberapa bulan.

Suatu malam aku bermimpi didatangi seorang lelaki tua berpakaian serba putih. Dia menyuruhku agar mengikutnya membaca surah al-Fatihah. Katanya, kalau aku hafal surah ini, aku akan senang.

Yang peliknya perkara yang sama dan ayat yang sama berulang-ulang selama tiga malam berturut-turut. Sebaik sahaja terjaga, aku tertanya-tanya dan berfikir apakah makna mimpi itu? Ia membuatkan aku keliru.

Aku beritahu teman sebilik tentang mimpi tersebut. Kata mereka, itu tandanya Tuhan sudah memberi hidayah kepadaku. Apabila bertanya ustaz, jawapan yang sama diberikan. Kalau benar Tuhan ingin memberi hidayah, biarlah aku memeluk Islam kerana kerelaan sendiri dan bukan disebabkan pengaruh kawan atau sebab-sebab lain.

Dalam masa yang sama, aku membandingkan cara sembahyang setiap agama. Aku melihat cara Islam lebih jelas dan sistematik berbanding dengan yang lain. Dalam tempoh itu aku sering bertanya tentang Islam kepada ustaz dan teman-teman. Semakin hari hatiku semakin tertarik dengan ajaran ini. Semakin hari, cintaku semakin mendalam sehingga aku bertekad dan bersedia untuk mengucap dua kalimah syahadah. 

Keresahan berakhir

Beberapa malam sebelum tibanya hari yang penuh bermakna itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Resah dan gelisah. Sekejap terlelap, kemudian terjaga. Pagi itu seluruh badanku berkeringat, walaupun cuaca pagi dingin mencengkam. Fikiran semakin bercelaru. Jalan manakah yang bakal aku tempuh. Adakah pilihanku ini adalah pilihan yang tepat?

Sewaktu di bengkel hari itu, aku banyak mendiamkan diri sehingga mengundang rasa pelik di kalangan teman-teman. Kemudian aku beritahu mereka tentang tekadku. Mereka bertanya dengan bersungguh-sungguh adakah aku sudah fikir semasak-masaknya dan risiko yang bakal aku hadapi.

Aku hanya mengangguk. Hasratku itu diceritakan kepada ustaz. Petang itu usai solat Asar, bersaksikan ustaz, teman sebilik dan teman-teman lain yang banyak membantu, aku melafazkan ungkapan indah, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Sebaik sahaja terluncur kata-kata itu, hatiku terasa tenang dan lapang. Tidak pernah kualami sebelum ini. Dengan ikrar itu juga, aku berjanji ingin merubah hidup selepas ini. Aku mahu menjadi muslim yang beriman.

Tika takbiratul ihram dan sujud membuat kesekian kalinya menunaikan solat adalah saat yang paling bermakna. Inilah kali pertama sebagai seorang manusia aku menyerah diri, patuh dan mengakui rasa kehambaan kepada Yang Berhak.

Hingga ke hari ini aku masih merasai perasaan yang sama. Aku teringat salah satu ayat dalam surah al-Baqarah yang menyebut,

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk sujud kepada Ku”

Ayat itu begitu membekas dijiwa. Setiap kali membaca surah al-Fatihah, dalam getar suara aku terasa begitu tenang, bagaikan ada jaminan dan halatuju apabila berada di alam barzakh nanti. Itu semua mencambahkan minatku untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Untuk itu aku banyak mendengar ceramah agama dan aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara, membaca buku-buku yang dipinjamkan daripada ustaz, serta teman-teman.

Keluarga juga dapat menerima penghijrahan ini dengan hati terbuka, asalkan aku benar-benar ingin berubah dan ia terbaik untukku.

Kini rutin hidupku berubah

Terdetik rasa insaf terhadap dosa-dosa silam, rasa kesal yang mendalam dan perasaan kehambaan begitu menebal. Setiap kali berdiri di hadapan Nya tika menunaikan solat, aku terasa diri ini begitu kerdil. Aku juga mula mengingati keluarga yang selama ini seringku sakiti hatinya.

Laungan azan Subuh adalah waktu yang sentiasa aku tunggu, umpama seorang kekasih yang tidak sabar untuk menemui kekasihnya. Tika mendengar alunan al-Quran dari surau di blok penginapan, aku sudah terjaga dari tidur dan bersedia untuk menghadap Nya. Aku juga sering menjadi muazin waktu solat Zohor dan Asar pada hari Sabtu serta Ahad secara sukarela.

Kadang-kadang aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang dialami. Jika dahulu, aku hanya mendengar laungan itu, tetapi kini aku sendiri yang mengalunkannya. Dalam masa enam bulan selepas memeluk Islam, aku sudah menghafal beberapa ayat lazim dan sering ku baca dalam solat seperti an-Nas, al-Ikhlas, ad-Duha, al-Ghaasyiah, al-Kafirun dan al-Insyirah.

Aku juga sudah mengaji sehingga surah al-Imran dan sering membantu kawan memperbetulkan bacaan tajwid mereka. Aku berazam untuk khatam al-Quran pada bulan Ramadan nanti.

Dingin malam adalah saat yang paling ku nanti untuk menyerah diri dan berbicara dengan Pencipta. Dalam suasana yang tenang tanpa gangguan. Aku belajar mempraktikkan solat sunat lain seperti solat hajat, solat taubat dan solat duha.

Aku sering berzikir jika hati terasa gundah dan aku kembali tenang selepas itu. Bagaimanapun rintangan paling berat aku rasakan ialah ketika menunaikan ibadah puasa. Bagaikan mahu pengsan dek kelaparan sehingga kadang-kadang aku mengeluh. Dalam hati aku berbisik ini semua dugaan yang harus dilalui.

Syukurlah aku dapat menempuhinya tanpa tertinggal walau sehari pun. Dan alunan takbir aidilfitri bagaikan irama indah yang cukup sayu dan menginsafkan hingga air mata lelaki ini gugur tanpa di paksa.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ustaz, Jabatan Penjara dan teman-teman yang banyak membantu. Harapanku buat mereka yang dilahirkan beragama Islam bersyukurlah dengan anugerah yang tidak ternilai itu.

Buat mereka yang pernah memilih jalan songsang seperti yang pernah aku lalui, kembalilah ke pangkal jalan. Belajarlah agama sebelum nyawa kita berada di halkum dan segala-galanya sudah terlewat. Wallahu a’lam

__________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This