Sultan Selangor khuatir cubaan membunuh karakter makin berleluasa

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekhuatiran terhadap cubaan-cubaan membunuh karakter atau character assassination yang semakin berleluasa dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

Sultan Sharafuddin bertitah, jika tidak dibendung, perbuatan cubaan membunuh karakter dibimbangi boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Titah Sultan Selangor, lazimnya pembunuhan karakter itu hanya berlaku pada musim pilihan raya tetapi ia kini digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.

“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.

“Beta sarankan sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah demikian dalam perutusan sempena tahun baharu 2025 yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menerusi titah tersebut, Sultan Selangor turut menyeru sekalian rakyat tidak mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

Baginda juga tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.

“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titah Sultan Sharafuddin lagi.

Menjengah tahun baharu 2025, Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

Baca artikel lain: PM merafak sembah ucapan tahniah ulang tahun keputeraan Sultan Selangor

Baginda mengingatkan bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.

“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.

“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, baginda yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti.

Sementara itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

“Beta berharap tahun 2025 akan membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada semua,” titah baginda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This