KEMENTERIAN Pengangkutan akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan itu akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pasukan petugas khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan.
“Saya telah tugaskan KSU untuk mempengerusikan pasukan khas ini yang bukan sekadar untuk mengkaji dan menilai apa yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk memulakan pelaksanaan segera bagi apa yang boleh dilaksanakan.
“Apa dasar yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan dengan segera. Pasukan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan pada majlis amanat tahun baharu 2025 di Putrajaya, hari ini.
Untuk rekod, pada 23 Dis lepas, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta, dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar lori treler yang tercabut.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pihak kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan melalui pendekatan bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Selain itu, jelas beliau, sistem High Speed – Weigh in Motion (HS-WIM) akan diperluaskan untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik.
“Manakala sistem kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) akan ditambah baik dengan mekanisme point-to-point bagi memantau kelajuan kenderaan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

