HAKIM Mahkamah Rayuan menyatakan terganggu apabila tidak ada langsung cabaran atau bantahan dikemukakan pihak pendakwaan berhubung kewujudan Titah Adendum dipohon Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam prosiding hari ini, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mempersoalkan perkara itu dan menyifatkan mahkamah bersedia mendengar rayuan mengenai Titah Adendum itu.
“Apa yang saya lihat adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara. Tiada apa-apa kenyataan (afidavit balasan) daripada pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengenepikan atau mana-mana responden yang menafikan kewujudan titah tersebut.
” Ketiadaan tindakan untuk mencabar kewujudan titah itu, saya terganggu. Saya menyatakan (ia wujud) tetapi kerana anda (pendakwaan) tidak menafikan kewujudannya bermakna anda mengatakan ia wujud. Itulah sebabnya. Saya tidak menyatakannya, tetapi saya terganggu,” katanya seperti dilapor Berita Harian Online.
Beliau berkata demikian selepas Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Shamsul Bolhassan membacakan afidavit AGC yang menegaskan keputusan mesyuarat lembaga pengampunan sebelum ini tidak menyebut apa-apa berkaitan titah adendum mengenai perintah tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Baca artikel lain: Titah Adendum: Mahkamah Rayuan mulakan prosiding dengar permohonan Najib kemuka bukti tambahan
Panel tiga hakim terdiri daripada Mohd Firuz; Hakim Datuk Azizah Nawai dan Datuk Azhahari Kamal Ramli mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Bekas perdana menteri itu memohon untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan dokumen tersebut, yang didakwa akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Selepas hujahan, panel hakim meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2024 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap dokumen tambahan yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh, memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Datuk Seri Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

