Ayam Gepuk Pak Gembus, makanan berasaskan resepi asli Indonesia yang disesuaikan dengan citarasa masyarakat Malaysia, menerima pensijilan Halal secara rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi 12 daripada keseluruhan 70 cawangannya di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia, Zulkarnain Mohd Yusof berkata pencapaian penting ini mencerminkan komitmen teguh Pak Gembus dalam mematuhi peraturan penguatkuasaan Halal selari dengan menyokong inisiatif kerajaan 2025 untuk memperkukuhkan industri Halal di Malaysia, di samping mengekalkan kebersihan, keaslian dan makanan yang berkualiti tinggi.

“Kami amat teruja untuk mengumumkan bahawa usaha kami untuk meluaskan pensijilan Halal telah dicapai seperti yang dirancang, Kejayaan ini adalah kejayaan pelanggan kami.
“Selepas berjaya memperoleh pensijilan Halal untuk “Central Kitchen” kami pada pertengahan tahun 2024, kini kami telah mengembangkan pencapaian ini ke peringkat cawangan, bermula dengan 12 cawangan sebagai permulaan.
“Bagi tahun 2025 pula, kami menyasarkan 50 cawangan seterusnya untuk memperoleh sijil Halal. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Jakim atas sokongan kuat yang diberikan sepanjang proses mendapatkan sijil Halal ini.
“Kepercayaan yang diberikan ini membuktikan bahawa Pak Gembus sentiasa berusaha memastikan setiap hidangan kami memenuhi piawaian yang ketat, sekali gus memberi jaminan kepada pelanggan kami.

“Sijil Halal ini adalah pencapaian besar bagi kami dan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi jenama Pak Gembus di Malaysia.
“Dengan pencapaian pensijilan Halal ini, kami dapat meyakinkan lebih ramai masyarakat dan komuniti untuk menikmati hidangan di Pak Gembus tanpa ada keraguan dan was-was,” katanya.
Tambahnya lagi, antara cawangan yang telah menerima sijil Halal adalah Saujana Utama 3, Puncak Alam,Setiawangsa, Bandar Seri Putra, Kajang dan Seremban 3 and Bandar Enstek.
Bagi cawangan yang lain, menurut Zulkarnain, bekalan makanan ke semua cawangan adalah dari ”Central Kitchen” mereka yang telah diperakui Halal.
Selari dengan kemajuan ini, Pak Gembus berhasrat untuk memperluaskan lagi cawangan di serata Malaysia dengan menyasarkan pembukaan lebih 40 cawangan baru yang berpiawaian Halal pada 2025.
Majlis turut dihadiri Rido Nurul Adityawan, pengasas Ayam Gepuk Pak Gembus yang berasal dari Indonesia serta Sahibus Samahah Ustaz Jamali Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah.

