Terapi paling berbaloi dengan keindahan alam dan suhu persekitaran yang nyaman, hanya kurang satu jam dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Berjaya Hills Bukit Tinggi, Pahang menuju The Chateau Spa & Wellness (The Chateau) memberikan ‘vibe’ yang tenang dan mewah.
Keindahan alam dengan cuaca dingin sempurnakan lagi percutian di sebuah resort mewah yang menyerupai sebuah istana ‘Haut Koenigsbourg’ dari abad ke-18 di Alsace, Perancis.
Suite Mewah Bertemakan Eropah dengan pemandangan alam
Melangkah masuk ke The Chateau seolah-olah berada di dunia berbeza, segalanya terasa begitu tenang dan indah. Jauh dari hiruk pikuk kota, yang kedengaran hanyalah deruan angin sepoi bahasa bersama kicauan burung. Dan udara nyaman yang dingin.
Resort ini menawarkan 172 bilik dari lapan kategori yang merangkumi Deluxe Room, Premier Room, 1-Bedroom Suite, Jacuzzi Suite, Noble Suite, 2-Bedroom Suite, 3-Bedroom Suite dan Son Altesse Suite, yang direka dengan elegan dan diinspirasikan oleh perabot bertemakan Eropah yang tradisional namun sofistikated, dilengkapi dengan kemudahan mewah.


Resort ini juga menyediakan kelab kanak-kanak yang direka khas untuk memenuhi keperluan dan kehendak keluarga dengan anak-anak kecil.
Dan setiap pagi, sarapan di tepi kolam bersama kehijauan alam benar-benar memberikan sensasi dan aura baharu dalam diri. Seperti dicas semula energi untuk mulakan hari dengan lebih bertenaga.


Aktiviti rekreasi di Adventure Park dan Japanese Village
Bukan sekadar lokasi ‘healing’, resort ini juga menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi di Adventure Park, termasuk Flying Fox, Rock Climbing, High Rope Obstacles, Canopy Walk dan Paintball Warfare.


Pada permulaan nampak agak mencabar, namun sebaik bermula langkah pertama, segalanya berjalan lancar dan cukup menyeronokkan. Tidak terlalu extreme dan sesuai untuk ‘beginner’. Yang penting, hati kena cekal kerana anda perlu mendaki tangga curam yang diikat pada kayu untuk ke point kedua ‘flying fox’.


Untuk pengalaman yang lebih santai, kunjungi ‘Japanese Village’ untuk menikmati suasana tenang dengan deruan air terjun mini. Rasai tradisi Jepun dengan memakai Kimono atau nikmati masakan Jepun autentik di Ryo Zan Tei.


Spa bertaraf dunia – La Santé Spa
Sempurnakan percutian dengan rawatan kecantikan di La Santé Spa, berkonsepkan spa Eropah pertama di Asia. La Santé Spa mempunyai ruang rehat yang menenangkan dan lebih daripada 10 bilik rawatan spa seperti kemudahan thermal wellness.
Antaranya adalah Salt Grotto – rawatan di mana lumpur terapeutik digunakan sebelum memasuki Salt Grotto, Aquaveda – rawatan katil hangat atau berus sabun dengan kemudahan pengelupasan badan automatik, dan Herbal Bath, rawatan sauna yang direka oleh Austria dengan suntikan herba Chamomile, Lavender dan Rose.

La Santé Spa juga telah dianugerahkan dengan ASEAN Spa Services Award di ASEAN Tourism Standard Awards 2025 oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.
The Chateau Spa & Wellness Resort juga meraih kejayaan global berganda dengan kemenangan prestij anugerah Seven Stars and Stripes oleh The Seven Stars Academy, sebuah badan anugerah global yang memberikan tiga anugerah berprestij kepada resort ini pada tahun 2011 iaitu Anugerah Konsep Hotel Keseluruhan, Anugerah Spa dan Kesejahteraan, Anugerah Fine Dining.
La Serre Glasshouse – Lokasi perkahwinan mewah dan romantis
Terletak di tengah-tengah hutan hujan tropika yang subur, berdiri megah pada ketinggian 3,000 kaki di atas paras laut, The Chateau mencipta kenangan ekslusif dan romantis bagi pasangan pengantin di La Serre Glasshouse.

Rumah kaca bertemakan Eropah ini secara rasmi diiktiraf sebagai ‘Rumah Kaca Pengantin & Acara Terbesar Malaysia’ oleh Malaysia Book of Records.
The Chateau Spa & Wellness Resort membuka pintunya untuk penginapan eksklusif dan mewah pada Januari 2012 ini telah menyaksikan penyatuan dua hati antara pasangan pewaris empayar perniagaan terbesar di negara ini, SM Faliq Nasimuddin dan Chryseis Tan.
Hidangan gastronomi setaraf bintang Michelin
Penginapan mewah ini turut menawarkan pengalaman gastronomi yang eksklusif kepada tetamu dengan lima outlet makanan dan minuman. Antaranya adalah La Vie, L’assiette yang menyajikan masakan India Utara, Belle Vue Tea Room untuk pengalaman minum petang, Le Rouge dan Salon Cigar Lounge.
Pengalaman menikmati hidangan hi-tea dengan suasana petang yang cukup indah dan dingin menjadi antara detik yang cukup diingati. Terdapat beberapa pilihan teh terbaik untuk sempurnakan mood, jadi jangan lupa bertanya kepada staf.


Hidangan ‘fine dining’ di restoran yang diinspirasikan oleh Eropah di L’assiette, juga cukup menakjubkan. Penulis diberi peluang menikmati dua set menu baharu – masakan Perancis moden klasik dan menu sofistikated North India.
Menu Perancis dengan lima hidangan mempamerkan tradisi dan inovasi, bermula dengan hidangan salmon bit yang elegan. Bintang utama, bisque lobster bersama roti bawang putih rangup benar-benar menggambarkan rasa tradisional Perancis dengan gabungan krim lobster, stok rebusan udang, jus kerang, mirepoix ayam dan pes tomato.

Kelembutan ‘beef cheek bourguignonne’ di mana pipi lembu yang dimasak perlahan, dihidangkan dengan kentang tumbuk bawang putih truffle, bawang mutiara, cendawan portobello dan daging lembu bacon – satu hidangan yang cukup menawan.
Tidak hanya menutup hidangan dengan chocolate fondant yang dihidangkan bersama kek coklat gelap dipadankan dengan kompot beri, sos coklat dan aiskrim vanila, L’assiette juga memanjakan pengunjung dengan Gueridon Trolley, seleksi keju Perancis yang dihidangkan dengan buah kering dan pencuci mulut. Ianya satu sentuhan yang cukup bergaya dan hebat untuk menamatkan pengalaman masakan Perancis.
Satu pengembaraan luar biasa dari abad ke-18 di istana Perancis, dari pemandangan hijau dan cuaca dingin, hidangan mewah berkelas dunia sehinggalah ke aktiviti rekreasi, segalanya cukup sempurna. Percutian hujung minggu buat warga kota pastinya kurang memenatkan dengan hanya 45 minit pemanduan dari Kuala Lumpur. Selamat bercuti!

