Di kalangan umat Islam masih lagi timbul kekeliruan tentang masalah perbezaan mazhab, sehingga tercetus salah faham yang membawa kepada perpecahan. Sedangkan perbezaan pendapat di kalangan imam-imam mazhab hanyalah berkaitan persoalan furu’iyyah dan masalah hukum feqah yang tidak jelas disebabkan ketiadaan nas yang qat’i atau terdapat kesamaran dari segi hukum.
Perbezaan itu tidak sama sekali melibatkan persoalan pokok yang berkaitan syariat dan akidah. Sekiranya difahami betul-betul, perbezaan (bukan perpecahan) ini merupakan satu rahmat yang tidak ternilai.
Perbezaan pendapat yang bersifat ijtihad telah memperkaya, mengembang dan memperluaskan kaedah ilmu feqah. Ini kerana setiap pendapat pasti disandarkan kepada dalil-dalil dan pertimbangan syariat yang digali oleh para ulama dan pemikir Islam melalui ijtihad, istinbat, qiyas, istihsan, tarjih dan sebagainya.
Maka khazanah ilmu feqah bertambah luas dan beraneka coraknya, dari madrasatul hadis (aliran tekstual) hingga ke madrasatur ra’yi (aliran kontekstual). Perbezaan ini juga merupakan nikmat dan kekayaan ilmu feqah yang menjadikan mereka tidak terbatas dalam satu aplikasi hukum syariat tanpa memiliki alternatif lain.
Bahkan jika mazhab salah seorang Imam pada suatu masa dan dalam masalah tertentu terasa menyulitkan umat Islam, maka di dalam mazhab lain ditemui kebebasan dan kemudahan. Kepelbagaian ini memberikan kemudahan kepada orang Islam. Inilah yang menunjukkan Islam itu mudah sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Hajj: 78,
“…dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan…”
Perbezaan mazhab dalam perkara yang bersifat furu’iyyah (cabang) ini adalah disebabkan oleh faktor ilmiah yang melatarinya. Antaranya perselisihan pandangan para imam dalam:
Pertama: Memahami nas-nas
Syariat Allah diturunkan dalam bentuk nas-nas, dan manusia, termasuk para imam mazhab tidak dapat lari daripada berbeza pandangan dalam memahaminya. Perselisihan dalam memahami nas terbahagi kepada dua iaitu golongan yang mengambil berat tentang zahir lafaz dan golongan yang mengambil berat tentang maksud lafaz.
Terdapat aliran yang menyempitkan kepada zahir nas dan aliran yang mengembangkannya dan mengambil berat tentang maksud nas.
Kedua-dua golongan ini telah wujud semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi iaitu ketika Baginda bersabda selepas perang Ahzab,
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat janganlah ia bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah”
Para sahabat telah berselisih mengenainya sehingga ada yang berkata,
“Tujuan Rasulullah berkata demikian ialah supaya bersegera”
Yang lain pula berkata,
“Tidak! Rasulullah telah bersabda yang bermaksud sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat janganlah bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah. Oleh itu kami tidak akan sembahyang melainkan di perkampungan Bani Quraizah, walaupun selepas Maghrib”
Jadi sebahagian mereka menunaikan Asar di dalam waktu Maghrib.
Ketika disampaikan perkara itu kepada Rasulullah, Baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan sebagai menandakan iqrar (pengakuan) Baginda terhadap ijtihad. Baginda membiarkan sahaja para sahabat beramal mengikut ijtihad mereka.
Kedua: Tabiat manusia yang sesetengahnya mutasyaddid dan ada pula yang mutarakhis
Ibnu Umar contohnya tidak sama dengan Ibnu Abbas. Ibnu Umar ketika berwuduk akan memasukkan air kematanya sehingga menyebabkan beliau buta. Manakala Ibnu Abbas pula tidak merasakan perkara itu perlu.
Perbezaan pandangan antara dua sahabat ini adalah disebabkan oleh perbezaan ruh mereka. Dari sinilah datangnya kaedah “Syada’id Ibnu Umar” dan “Rukhsah Ibnu Mas’ud” yang terkenal di dalam warisan ilmu feqah.
Ketiga: Perselisihan dalam menterjemahkan bahasa atau perkataan
Para imam telah berselisih dalam menentukan maksud perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Begitulah juga dengan sebahagian perkataan yang ada terkandung maksud yang “hakiki” dan juga “majazi” (bukan makna hakiki).
Dalam hal ini, sebahagian imam mengambil maknanya yang hakiki dan sebahagian yang lain mengambil maknanya yang majazi. Sebagai contohnya firman Allah dalam surah al-Maidah: 6
“…atau kamu sentuh perempuan”
Adakah yang dimaksudkan di sini bersentuh seperti pandangan Ibnu Umar sekadar bersentuhan kulit atau ianya adalah kiasan bagi maksud persetubuhan seperti pandangan Ibnu Abbas? Bersambung…
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

