MENYEDARI kontroversi yang menghimpit Rozita Che Wan, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles dan Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Seri Farah Haryani, perkara berkenaan bukan alasan utama mengapa beliau memilih selebriti sensasi itu sebagai duta untuk mewakili jenama Ariani Luxe.
Meletakkan kepercayaan sebagai asas pemilihan, tambahnya kualiti yang dimiliki Che Ta adalah faktor utama mengapa dia dilihat sebagai individu yang layak untuk membawa jenama Ariani Luxe.
“Saya sudah mengenali Che Ta sejak zaman Jakel lagi, dan pemilihannya bukan atas dasar simpati atau untuk membantu.
“Sebagai duta, Che Ta memiliki pakej lengkap, seorang yang sangat komited, berdedikasi, berdisiplin, tidak berkira, dan sentiasa sedia membantu.
“Kualiti inilah yang membuatkan kami tertarik untuk melantik beliau sebagai duta,” katanya kepada URTV.

Menyentuh soal kontroversi yang melanda Che Ta, Farah Haryani berkata, sebagai wanita dan pemilik perniagaan, dia yakin sesiapa juga memiliki permasalahan sendiri.
Bagaimanpun menurutnya sikap professional seseorang itu adalah kualiti sebenar.

“Seperti yang saya katakan, pemilihannya bukan berdasarkan sebab lain, memang kerana kemampuan Che Ta yang dilihat pihak kami mampu membawa jenama ini ke tahap yang lebih baik.
“Jadi saya harap kerjasama ini juga memberi ruang untuk mereka di luar sana untuk terus menyokong produk kami,”ujarnya.
Terdahulu sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, Ariani kini kembali dengan rekaan hijab dan busana terkini dengan pelbagai pilihan dan gaya yang cukup menawan.

Memilih tema HIKAYAT ARIANI KARYA SEINDAH BUSANA, tahun ini pelanggan berpeluang memilih hampir 300 pilihan hijab dan 300,000 pasang baju raya dengan pelbagai rekaan menarik untuk seisi keluarga.

Berpegang kepada keteguhan identiti jenama ini yang sentiasa menghasilkan koleksi selendang dan busana pada harga terbaik seiring dengan kualiti tudung dan busana.
Berkongsi mengenai sentuhan rekaan pada tahun ini, menurut Farah Haryani, antara kelebihan pakaian di Ariani sendiri, ia didatangkan dalam hampir 10 fabrik berbeza, termasuklah kain kapas, satin, twill, brocade serta yang terbaru chiffon, crepe, jacquard dan banyak lagi.

“Aidilfitri bukan sekadar berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai serta saling bermaaf-maafan, tetapi juga tentang meraikan kebersamaan bersama keluarga.
“Tidak kira mahal atau murah, baju raya sentiasa menjadi simbol kebahagiaan dan kenangan yang memberikan nilai sentimental kepada pelanggan kami dalam menyambut lebaran.
“Jadi Ariani sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada kenangan itu,”tambahnya.

Sementara itu , Selain Che Ta antara duta tahun ini yang turut menjayakan kempen HIKAYAT ARIANI KARYA SEINDAH BUSANA adalah, Datin Lisa Surihani, Uyaina Arshad Bella Dally dan Fyza Kadir.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

