KOMPOSER dan pemuzik terkenal, Zul Mahat, 64, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat jangkitan kuman di paru-paru, malam tadi.
Berita duka itu disahkan oleh anak saudaranya yang memaklumkan kepada teman rapat Allahyarham iaitu Rosnah Abdul Aziz.
Sebelum ini, arwah dimasukkan ke PPUM pada penghujung Disember lalu selepas terjatuh semasa membuat rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya.
Akibat daripada kejadian itu, dia mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.
Allahyarham turut menjalani prosedur angiogram selepas doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat sebelum memasukkan stent bertujuan menstabilkan keadaannya.
Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Januari, tetapi dimasukkan semula ke PPUM pada 17 Februari lalu selepas dijangkitan kuman pada paru-paru.
Sepanjang kariernya, Zul telah banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).
Selain bergelar komposer, Zul juga dikenali sebagai pemain keyboard dan sering terlibat dengan kerja-kerja rakaman album penyanyi terkenal antaranya Datuk M Nasir, Search dan banyak lagi.

