SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi MPV di Jalan Temerloh-Bera berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tawar, Bera, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.59 pagi.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Alphard.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
“Pemandu Toyota Alphard berusia 29 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan bagi menjalankan operasi menyelamat.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayatnya dibawa keluar menggunakan pengusung.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu Toyota Alphard yang cedera ringan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

