Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi dilahirkan pada tahun 1929 dan dibesarkan dalam keluarga miskin. Namun, keazaman dan semangat yang tinggi untuk mencari rezeki membuatkan beliau bekerja dalam pelbagai bidang sehingga menjadi salah seorang ahli perniagaan paling berjaya di dunia.
Kisah hidupnya penuh dengan liku-liku yang memberi banyak pengajaran. Sheikh Sulaiman memulakan perjalanan hidupnya pada zaman di mana dunia perniagaan di kawasan Teluk Arab belum mencapai tahap kemakmuran seperti yang dinikmati pada masa kini.
Walaupun tidak memiliki pendidikan mewah seperti yang dimiliki oleh kebanyakan usahawan lain pada zaman sekarang, beliau tidak pernah berputus asa untuk terus maju.

Pada usia sembilan tahun, beliau mula bekerja sebagai pembawa barang di pasar, dengan mengangkut beg belanja untuk para pelanggan. Pada usia 12 tahun, beliau mengumpul kurma untuk dijual dengan bayaran enam Riyal sebulan. Beliau tidur di atas kerikil di tempat kerja dengan memakai pakaian yang sama sepanjang hari.
Di antara pelbagai pekerjaan yang dilakukan pada usia remajanya, Sheikh Sulaiman pernah bekerja sebagai penjual borong minyak tanah yang diimport. Dia juga pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Riyadh. Juga bekerja sebagai pelayan di sebuah syarikat kontraktor dengan gaji 60 Riyal Saudi sebulan, sebelum memulakan kedai runcitnya sendiri.
Pada usia 15 tahun, beliau terpaksa menjual kedai runcitnya untuk menampung kos perkahwinannya. Semua simpanannya digunakan untuk majlis perkahwinan tersebut.
Sheikh Sulaiman kemudian bekerja bersama abangnya, Saleh Al Rajhi, di perusahaan tukaran wang asing sebelum mereka bersama-sama membuka cawangan kedua perniagaan tersebut pada tahun 1956.
Kejayaan pertamanya tercapai pada tahun 1970 apabila beliau memisahkan perniagaannya daripada abangnya dan berjaya membuka syarikat tukaran wang asing sendiri. Perusahaan tersebut berkembang pesat dengan lebih 30 cawangan di seluruh Arab Saudi.
Beliau juga membawa perniagaannya ke beberapa negara di dunia Arab, termasuk Mesir dan Lubnan, dan memperoleh keuntungan besar dengan memperluaskan perniagaannya.
Kerana 1 Riyal
Semasa kecil dahulu, sekolahnya pernah menganjurkan program lawatan sambil belajar dengan bayaran 1 Riyal. Sheikh Sulaiman sangat mahu mengikuti program tersebut, tetapi keluarganya tidak mampu membayar wang 1 Riyal tersebut. Dia menangis bila terkenangkan tidak akan dapat mengikuti lawatan itu.
Ketika tarikh lawatan itu kian hampir, keputusan ujian sekolah keluar dan Sheikh Sulaiman berjaya mendapat nombor satu dalam kelasnya. Seorang guru dari Palestin yang mengajarnya telah menghadiahkannya 1 Riyal sebagai hadiah atas keputusan cemerlangnya itu. Wang itulah yang digunakan oleh Sheikh Sulaiman untuk mengikuti program lawatan sambil belajar anjuran sekolahnya.
Adakah kisah 1 Riyal itu berakhir di situ? Tidak!
Setelah Sheikh Sulaiman berjaya menjadi seorang jutawan, beliau kembali mencari guru Palestin yang pernah menghadiahkannya 1 Riyal sewaktu bersekolah dahulu.
Guru itu berjaya ditemuinya. Sheikh Sulaiman telah menghadiahkan sebuah banglo dan kereta mewah untuk bekas gurunya itu. Walaupun hanya 1 Riyal yang diberikan oleh guru tersebut, namun nilai itu sangat besar bagi Sheikh Sulaiman kerana ia telah mengubah hidupnya dan sangat terhutang budi dengan gurunya itu.

Ladang Kurma Terbesar
Di wilayah Al-Qassim di Arab Saudi, ada sebuah ladang kurma yang begitu luas, dengan lebih 200,000 pokok kurma yang kesemuanya diwakafkan ke jalan Allah S.W.T.
Terdapat 45 jenis kurma di kebun ini dengan pengeluaran tahunan sebanyak 10,000 tan kurma. Dan ladang ini merupakan kebun waqaf terbesar di bumi. Malah, ia juga disenarakan oleh rekod dunia Guinness sebagai tanah wakaf terbesar di dunia.
Pendapatan daripada kebun ini digunakan untuk membina masjid di pelbagai negara di seluruh dunia, untuk kerja-kerja amal dan menyediakan juada berbuka puasa di dua buah masjid suci umat Islam (Mekah dan Madinah).
Ladang ini telah diwakafkan sepenuhnya ke jalan Allah oleh Sheikh Sulaiman, yang juga bergelar antara lelaki terkaya di Arab Saudi.

Apa lagi yang perlu anda tahu tentang Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi :-
*Beliau merupakan pemilik rangkaian bank Al Rajhi, rangkaian bank Islam terbesar di dunia.

*Sewaktu COVID-19 melanda, beliau mendermakan sekitar 170 juta Riyal dan membenarkan dua buah hotel miliknya di Mekah digunakan oleh kementerian kesihatan secara percuma.
*Majalah FORBES menamakan beliau antara manusia paling banyak menderma di dunia.

*Banyak masjid di Arab Saudi telah dibina hasil sumbangannya.
*Merupakan pemilik ladang ternakan Al-Watania, iaitu ladang ternakan terbesar di Timur Tengah.
*Sebahagian besar hartanya didermakan untuk tujuan kebajikan.
*Beliau memindahkan saham banknya, ladang dan aset lain ke dalam satu wakaf amal yang diberi nama beliau sendiri bagi menyalurkan bantuan dalam usaha melawan kelaparan dan menyokong pendidikan di Arab Saudi.

Bagi memastikan kerja amalnya berterusan, Sheikh Sulaiman Al Rajhi telah menukar sebahagian besar hartanya kepada wakaf. Sumbangan beliau dianggap antara wakaf terbesar dalam sejarah Islam.
Dalam sebuah wawancara, apabila ditanya apakah yang ditinggalkan untuk dirinya sendiri kerana selain untuk keluarga, kebanyakan hartanya didermakan atau diwakafkan, dalam senyuman Sheikh Sulaiman menjawab. “Tidak ada. Saya tidak tinggalkan apa-apa pun apabila saya mati nanti.”
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

