SAMBUTAN Ramadan tahun ini cukup memberi kelainan buat pelakon Fattah Amin sejak bercerai dengan bekas isteri, Nur Fazura pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Fattah yang juga pelakon drama bersiri Viu iaitu BIdaah beruntung masih memiliki ibu bapa dan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.
“Sejujurnya memang saya rasa perbezaannya untuk Ramadan tahun ini.
“Sebelum ini, sahur dan waktu berbuka puasa akan bersama dengan isteri serta anak.
“Tapi apa-apa pun saya tetap bersyukur sebab masih ada ibu bapa, adik-beradik dan Fatima untuk jalani ibadah puasa tahun ini bersama-sama.
“Saya juga terangkan kepada Fatima mengenai indahnya Ramadan walaupun dia masih kecil. Selain saya curi masa untuk bawa Fatima berbuka puasa bersama keluarga,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis sidang media drama Bidaah di ibu negara, baru-baru ini.

Menganggap keluarga adalah tulang belakangnya, Fattah akui kadangkala mudah larut dengan perasaan mengenangkan takdir hidupnya.
“Jodoh, ajal, maut itu semua ditentukan oleh Allah. Jadinya, saya reda dengan takdir hidup saya.
“Janganlah kita persoalkan kenapa hidup ditakdirkan sedemikian. Saya sentiasa muhasabah diri dan menerima takdir dengan tenang hati
“Tapi, saya juga manusia biasa yang ada masanya terbuai dengan perasaan sendiri,” ungkapnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

