“Dia isteri yang baik, tak pernah curang atau nusyuz” – Rushdi mengaku pinang Nora atas kerelaan sendiri, sedih dilabel penyondol

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SEKIAN lama mengunci mulut, suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Dr. Rushdi Ramli akhirnya tampil bersuara bagi menjelaskan berhubung keputusannya berpoligami.

Menurut Rushdi, 59, tindakannya mengahwini Nora didorong niat murni mahu membimbing wanita itu dan anak-anaknya selepas pemergian Allahyarham Johan Nawawi.

“Sesungguhnya, tidak pernah terlintas langsung dalam minda dan diri saya untuk mendekati Nora atas sebab kerjaya dan bidang yang jauh berbeza antara kami.

“Didorong niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak arwah yang masih pada awal usia, di sinilah timbulnya keinginan untuk meminang.

“Demi Tuhan, hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat saya dan semuanya adalah dengan kehendak-Nya jua,” katanya.

Malah, Rushdi turut mengulas mengenai kemelut rumah tangganya yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini.

“Kami diuji dengan isu panas yang boleh memecah-belahkan rumah tangga. Lebih lagi, adanya campur tangan daripada insan yang rapat dengan saya.

“Inilah dugaan dan cabaran dalam berpoligami. Saya pernah menerima desakan dan asakan cukup mencabar kehidupan berpoligami, namun dapat diatasi dengan izin Allah.

“Apakah alasan boleh diberikan sedangkan poligami dibenarkan dalam Islam dengan kata sepakat para ulama. Adakah saya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa?,” ujarnya.

Pada masa sama, Rushdi akui tanggungjawabnya kini lebh besar selepas memilih untuk berpoligami sekaligus mengangap ia adalah jalan cerita hidupnya yang sudah tertulis.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir berpoligami kerana secara peribadi saya merasakan tidak layak, sedar cabarannya amat banyak dan besar.

“Masyarakat pula sering mencanangkan idea negatif seperti isteri kedua adalah perampas kerana kehadirannya dikatakan boleh memporak-perandakan rumah tangga bahagia yang terbina selama ini.

“Namun, hakikatnya kita tidak dapat menolak takdir dan ketentuan Ilahi dalam hidup seperti dinyatakan dalam Rukun Iman,” katanya.

Rushdi turut meluahkan rasa sedih susulan Nora dilabelkan dengan kata-kata negatif oleh sesetengah pihak.

“Dalam kehidupan poligami, gelaran seperti ‘penyondol’ dan ‘sundal’ sering dikaitkan dengan isteri-isteri. Sama ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya.

“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan wajar dihentikan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Ini juga berlaku kepada Nora yang turut menerima gelaran sedemikian.

“Di sini, tidak dapat dinafikan sayalah insan yang meminang Nora dan bukan sebaliknya,” katanya.

Dalam masa sama, dia sempat memuji isteri keduanya yang disifatkan sentiasa menjaga diri termasuk menutup aurat mengikut kehendak syariah.

Malah, pelantun lagu Hanya Satu itu juga dipuji kerana tidak pernah melatah biarpun dihambat dengan kontroversi panas.

“Nora sentiasa menjaga aurat, berpakaian secara sopan, patuh syariah, tidak mencolok mata, bersesuaian dengan keadaan dan majlis dihadiri.

“Dia sentiasa menerima nasihat dan pandangan daripada saya atau ustaz lain. Nora insan yang suka belajar dan mencari ilmu.

“Saya akui dari sudut perwatakan dan perangai, Nora tidak ‘over react’ dalam segala hal terutamanya ketika di khalayak ramai.

“Alhamdulillah, Nora sentiasa menjaga tatasusila, sopan santun, sesuai dengan kedudukan dirinya sebagai isteri ustaz. 

“Nora juga tidak sombong, mudah mesra, peramah dengan semua orang, lebih lagi, bila bersama dengan saya dalam pelbagai majlis,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Rushdi juga melabel Nora sebagai isteri yang baik selain bijak menangani emosi dalam keadaan tertekan.

“Dia sentiasa tersenyum biarpun dalam keadaan ‘stress’ dan mampu menyembunyikan tekanan, kesedihan dan masalah dihadapi.

“Paling penting, saya terpaksa sebut Nora sebagai isteri yang baik. Sentiasa menjaga makan minum suami kerana dia minat masak-memasak.

“Ikhlas saya nyatakan bahawa saya kagum kerana Nora bukan seorang wanita suka mendampingi mana-mana lelaki yang bukan suaminya.

“Sepanjang perkahwinan bersama Allahyarham Johan dan saya, Nora tidak pernah curang atau nusyuz,” ujarnya lagi.

Rushdi juga memohon masyarakat luar mendoakan yang baik-baik dan tidak lagi melemparkan kata-kata negatif terhadap mereka sekeluarga.

“Saya memohon agar rumah tangga dibina ini yang berasaskan kerana Allah akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Doakan juga agar Nora sentiasa menjadi seorang yang kuat, sabar, tabah dalam melayari kehidupan baharu ini.

“Semoga kehadiran saya yang serba kekurangan sedikit sebanyak dapat memberikan bantuan dan sokongan dalam apa juga bentuk terhadap keluarga Nora, khususnya untuk keluarga arwah sahabat saya dunia akhirat, Allahyarham Johan,” ujarnya.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada Disember 2021.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This