PELAKON dan pengarah Ellie Suriaty, 54, memberi tempoh sehingga April ini kepada pempengaruh Imran Bard bagi membuat permohonan maaf secara bersemuka dengannya.
Ia susulan kandungan yang dimuat naik oleh Imran di platform TikTok yang didakwa mencalarkan imejnya sebagai artis berpengaruh.
Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar tegas dengan pendiriannya bagi memastikan pemuda itu tampil membersihkan namanya selain tidak teragak-agak untuk menyerahkan isu tersebut ke pihak persatuan.
“Sepatutnya dia jumpa dengan saya sebelum Ramadan lagi. Tapi, dia kata berada di kampung. Jadi, saya beri tempoh sehingga hari raya Aidilfitri untuk dia datang berjumpa dengan saya.
“Kalau berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan lanjut.
“Saya tidak akan senyapkan perkara ini. Tak boleh. Perkara ini ada kaitan dengan masyarakat. Bila namnya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat sama ada untuk pekara baik atau buruk.
“Dalam hal saya ini, ia lebih kepada buruk kerana saya banyak terima mesej yang menggelarkan saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain,” katanya kepada URTV.
Ellie berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025, di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.
Pada masa sama, Ellie akui menolak permintaan Imran yang mahu sesi pertemuan dilakukan secara tertutup.
Jelas Ellie, permohonan maaf perlu dilakukan secara terbuka memandangkan pemuda berusia 24 tahun itu sudah mencemarkan nama baiknya di khalayak ramai.
Ellie juga menasihati Imran adab memohon maaf yang sepatutnya berlangsung bertentang mata bukan melalui telefon.
“Dia ada hantar kiriman mesej mengatakan nak berjumpa secara tertutup. Tapi syarat saya kalau nak minta maaf kena terbuka.
“Agama Islam tak mengajar kita minta maaf melalui telefon. Kalau nak minta maaf, kena datang jumpa batang tubuh orang yang kita sudah sakitkan hati.
“Kalau betul nak minta maaf, saya akan nilai sama ada dia ikhlas ataupun terpaksa sebab takut kena hentam,” tegasnya.
Bercakap soal tindakan perundangan terhadap Imran, Ellie berkata tiada nilai yang mampu mengembalikan maruah dirinya yang sudah tercemar disebabkan video yang dimuat naik di media sosial.
Selama tiga dekad dia mengukir nama sebagai anak seni, pelbagai anugerah serta pengiktirafan yang diterima tetapi kini semuanya dipandang buruk oleh segelintir pihak.
”Sejujurnya saya terganggu. Saya terima banyak mesej makian, carutan. Ada yang gelar saya sundal, rupa buruk, sial dan macam-macam lagi. Portfolio saya selama tiga dekad tercemar begitu saja.
“Berapakah nilai diri yang hendak diletakkan? Takkanlah nilai saya RM200,000, RM500,000 ataupun RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT.
“Saya berpegang pada janji untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya nak tengok tanggungjawab bagaimana yang dia nak ambil,” katanya.
Pada 20 Februari lalu, Ellie mengadakan sidang media meluahkan rasa kurang senang dengan salah satu kandungan video dihasilkan Imran yang dianggap mencemarkan namanya.
Justeru, Ellie menuntut ibu bapa Imran bertemu dengannya untuk memohon maaf atas kelakuan pempengaruh tersebut.
Imran bagaimanapun menunjukkan sikap acuh tidak acuh ketika memohon maaf di dalam video TikTok miliknya selain memberitahu ibunya tidak dapat bertemu Ellie kerana sedang dirawat di hospital.
Bagaimanapun menerusi laporan media pada 26 Februari, Imran menyatakan dirinya menyesal dan sudah memohon maaf kepada Ellie secara peribadi di Instagram.
Malah, Ellie juga bersedia untuk bertemu dengan Imran bagi menyelesaikan kemelut antara mereka namun pertemuan itu bukan jaminan bahawa dia akan menarik balik saman terhadap Imran.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

