Runtuhnya menara World Trade Centre (WTC) pada tahun 2001 merupakan salah satu peristiwa yang paling menghebohkan dalam dekad pertama bagi kurun ke-21. Tiada siapa yang menyangka, sebuah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat telah diserang dengan sebegitu teruk sekali. Lebih 3,000 nyawa telah melayang dalam tragedi menyayat hati itu.
Ketika siasatan tentang tragedi ini dijalankan, beberapa keping foto yang berkaitan dengan kejadian itu mula tersebar dalam dunia maya. Di antara foto-foto tersebut, terdapat dua keping foto yang dianggap sebagai ikonik dalam sejarah tragedi berkenaan.
Pertama, sekeping foto atau potret yang dikenali sebagai Falling Man, memaparkan seorang lelaki kulit hitam yang terjun dari menara berkembar WTC untuk menyelamatkan diri. Yang kedua pula ada foto seorang lelaki sedang bergambar di atas menara berkembar WTC berlatarbelakangkan pusat bandar Manhattan, beberapa saat sebelum ia dilanggar oleh pesawat.

Kisah yang ingin kami ceritakan ialah foto kedua yang digelar sebagai ‘The Tourist Guy’. Jika dibandingkan dengan imej ‘Falling Man’, imej kedua ini juga tidak kurang menimbulkan rasa gerun kepada yang melihatnya.
Selepas berlakunya serangan ke atas WTC , foto tersebut tersebar dengan begitu pantas dalam dunia maya. Daripada beberapa sumber awal menyatakan, foto itu telah ditemui dalam sebuah kamera kompak di sebalik runtuhan bangunan.
Dalam potret tersebut, seorang lelaki berkulit putih yang memakai pakaian tebal, topi wool dan berkaca mata hitam sedang bergambar di atas dek pencerapan menara WTC. Di belakangnya, kelihatan sebuah pesawat Boeing sedang menuju ke arah menara, hanya beberapa ratus meter sahaja dari tempat lelaki itu berdiri. Ia didakwa sebagai pesawat yang dirampas oleh pengganas dan pada kadar kelajuan yang tinggi, beberapa saat sahaja lagi akan melanggar bangunan WTC.

Imej lelaki pelancong ini dikatakan memberi nilai kemanusiaan yang tinggi di sebalik tragedi menyayat hati ini. Ia adalah antara imej paling mendebarkan daripada siri serangan ke atas WTC pada 11 September 2001.
Di laman maya, pengguna Internet mula terkesan dengan imej tersebut serta menimbulkan pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya lelaki ini? Siapa pula yang mengambil gambarnya? Apa yang difikirkan oleh lelaki ini di saat akhir hidupnya?
Namun, beberapa hari kemudian – ketika potret tersebut semakin luas tersebar ke seluruh dunia, skeptis masyarakat maya mula berubah. Persoalan yang ditimbulkan mula beralih kepada perkara-perkara yang meragukan. Mereka mula bertanya, bagaimanakah gambar tersebut diperoleh? Tidakkah kamera kompak yang terperosok di bawah runtuhan bangunan akan hancur berkecai? Jadi, siapa pula yang menemui imej ini?
Menjelang November 2001, iaitu dua bulan selepas tragedi serangan dan runtuhnya WTC, potret ‘The Tourist Guy’ akhirnya telah disahkan palsu oleh laman Museum Hoaxepedia. Ia adalah gambar yang telah diedit dan terdapat banyak percanggahan yang dapat dikesan di dalam imej ini berbanding situasi sebenar.
Perkara paling meragukan tentang gambar ini adalah bagaimana sebuah kamera kecil mampu bertahan dan tidak hancur apabila jatuh dari tempat tinggi serta dihempap runtuhan bangunan. Bayangkan pada ketinggian 110 tingkat, dihimpit dalam runtuhan keluli dan batu, adakah ia mampu bertahan? Sudah pasti sangat mustahil untuk berlaku.

Pada 11 September itu juga, cuaca di kota raya New York mencecah 60o Fahrenheit. Meskipun suhu itu masih dingin, tetapi lelaki di dalam gambar tersebut memakai pakaian yang berlebihan untuk suhu seperti itu. Secara tak langsung ia menunjukkan sesuatu yang janggal.
Lelaki itu juga berdiri di menara selatan kerana dek pencerapan hanya terdapat pada menara tersebut, sedangkan pesawat melanggar menara utara terlebih dahulu. Jadi, persoalan timbul adakah lelaki itu masih mampu mengambil gambar selepas menara utara diserang?
Situasi sebenar juga menunjukkan pesawat datang dari bahagian sisi, namun gambar ini menyatakan sebaliknya. Ia dilihat meluru dari arah selatan. Selain itu, jenis pesawat yang menghentam juga adalah berlainan. Pesawat yang dirampas ketika tragedi ini berlaku adalah jenis Boeing 767 manakala yang ditunjukkan dalam potret tersebut adalah Boeing 757.
Dan sekiranya pesawat itu sedang bergerak dengan tahap kelajuan tinggi, sepatutnya ia akan kelihatan sedikit kabur di dalam imej. Tetapi imej pesawat di belakang lelaki tersebut adalah sangat jelas – seperti tidak bergerak. Berdasarkan kesemua faktor ini, maka gambar tersebut akhirnya didapati palsu.
Lalu timbul pula persoalan lain, siapa sebenarnya lelaki di dalam gambar ini? Apa motifnya untuk melakukan pengubahsuaian pada gambar berkenaan sehingga ia mendapat reaksi di dunia maya?
Orang pertama yang mengakui sebagai ‘The Tourist Guy’ itu adalah seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun dari Sao Paulo, Brazil bernama Jose Roberto Penteado. Beliau mendakwa beberapa orang kawannya mengedit bahagian kepalanya dan ditampalkan pada gambar seorang pelawat WTC.
Pendedahan Penteado itu telah menyebabkan dirinya menjadi popular secara serta-merta. Bahkan, sebuah syarikat pengeluar kereta daripada Jerman, Volkswagen telah bersetuju untuk mengambilnya sebagai model dalam salah satu iklan komersial mereka di Brazil.
Namun, sebelum iklan tersebut dirakamkan, seorang lelaki dari Budapest, Hungary, Peter Guzli telah mengakui bahawa dia adalah lelaki sebenar di dalam imej berkenaan. Lelaki berusia 25 tahun itu mengemukakan gambar asal yang telah diambil untuk menyatakan dia adalah ‘The Tourist Guy’ yang sebenar. Bagaimanapun, Peter Guzli tidak mahukan publisiti daripada pihak media.

Jelasnya, gambar tersebut telah dipotret pada 28 November 1997, ketika dia bercuti di Amerika Syarikat. Lelaki itu juga mengakui dia bertanggungjawab menyunting gambar itu pada peringkat awal dan hanya disebarkan kepada rakan-rakannya sahaja. Namun dia sendiri tidak menyangka potret suntingan itu akan tersebar dengan cepat di alam maya.
Gambar ini sepatutnya menjadi satu jenaka peribadi untuk Guzli. Tetapi secara tak sengaja ia telah tersebar ke seluruh dunia sehingga mencetuskan satu fenomena di sebalik sebuah tragedi yang menyayat hati.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

