Siapa lelaki yang terjun dari ketinggian 1,300 kaki dalam foto ikonik runtuhnya WTC?

Dari Penulis

Runtuhnya World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001 telah memeranjatkan seluruh warga dunia, terutama rakyat Amerika. Satu dunia heboh.

Ia disifatkan sebagai serangan terburuk daripada musuh luaran dalam sejarah Amerika moden. Lebih 3,000 nyawa telah melayang dalam tragedi menyayat hati itu. Tiada siapa menyangka sebuah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat telah diserang sebegitu rupa.

WTC runtuh selepas diserang pada 11 September 2001.

Sehari selepas peristiwa tersebut berlaku – 12 September 2001, akhbar-akhbar di seluruh dunia sibuk melaporkan berita tentang tragedi ini. Ulasan, laporan berserta gambar berkaitan dengan serangan itu telah dipaparkan di dada-dada akhbar.

Antara ribuan gambar, terdapat sekeping gambar yang dianggap sebagai ikonik dalam sejarah tragedi berkenaan. Foto dikenali sebagai ‘Falling Man’ itu memaparkan seorang lelaki kulit hitam yang terjun dari menara berkembar WTC untuk menyelamatkan diri.

Ia salah satu imej yang mendapat perhatian. Berlatarbelakangkan besi dan kaca bangunan itu, lelaki tersebut jatuh dengan kepala ke bawah – 1,300 kaki ketinggian untuk mencecah jalan raya.

Imej lelaki ini beberapa saat sebelum kematiannya memberikan nilai kemanusiaan yang tinggi pada hari dianggap paling hitam dalam sejarah bandar raya New York.

Gambar ikonik seorang lelaki kulit hitam yang terjun dari WTC yang terbakar.

Selama bertahun-tahun gambar itu tersebar di seluruh dunia, beberapa persoalan mula timbul. Siapa sebenarnya lelaki ini? Siapa pula yang mengambil gambarnya? Apa yang difikirkan oleh lelaki ini di saat akhir hidupnya?

Apabila seseorang terjun dari bangunan tinggi seperti WTC, mereka akan mencapai kelajuan terminal sehingga 250 kilometer sejam. Masa yang diambil untuk terhempas ke tanah pula adalah lebih kurang 10 saat.

Beberapa hari selepas berlakunya peristiwa 11 September ini, ada pihak yang tampil menyatakan seseorang yang terjun daripada ketinggian sebegitu akan mengalami kematian akibat serangan jantung terlebih dahulu sebelum mati terhempas ke bumi. Namun, tidak begitu pasti kesahihan fakta tersebut. Ada kemungkinan juga fakta berkenaan diungkapkan bagi mengurangkan tekanan dialami ahli keluarga mangsa yang lain.

Selepas dua pesawat menghentam sisi bangunan WTC, kebakaran besar berlaku akibat kombinasi kebocoran koktel minyak kapal terbang dan barangan pejabat. Impaknya mengenai tingkat 93 hingga 99, meragut ratusan nyawa dan mengakibatkan api marak sehingga mencecah 1,000 darjah Celsius. Suasana amat panas sehinggakan mereka yang berada di ruang lobi juga turut terbakar kulit apabila api seakan menyambar ke bawah melalui ruang lif.

Tetapi yang paling malang ialah 1,000 orang yang terperangkap antara tingkat 100 hingga 107. Lif telah musnah manakala laluan tangga pula terhalang oleh runtuhan bangunan. Api dan asap kian tebal dan tiada jalan lain untuk keluar. Berdasarkan laporan saksi selama satu jam setengah, hinggalah kedua-dua menara ini roboh, mangsa yang terperangkap mula terjun ke bawah.

Ada yang terjun berseorangan dan ada yang berpegangan tangan. Mereka yang terjun satu per satu telah menemui ajal dengan tubuh yang lumat menghempas bumi. Terjun kerana tidak tahan bahang api yang membakar dan kesesakan nafas kerana asap tebal.

Sukar untuk dibayangkan apabila terpaksa berada dalam situasi untuk menghadapi kematian. Pilih sama ada untuk mati lemas, mati terbakar atau mati dihempap menara yang roboh? Atau terjun dan membunuh diri sebelum tiga pilihan kematian yang dikatakan tadi tiba? Apa saja pilihannya, penghujungnya tetap sama iaitu mati!

Kembali kepada gambar ikonik di atas. Gambar ini diambil oleh Richard Drew, seorang jurugambar dari Associated Press.

Richard Dew, jurugambar dari Associated Press yang merakamkan foto ikonik tersebut.

Pada hari kejadian, beliau sepatutnya mengambil gambar sebuah pertunjukan fesyen ibu mengandung. Namun, setelah mendapat panggilan dari pejabat, beliau segera bergegas ke WTC dan membawa bersama lensa 200mm bagi merakamkan detik mencemaskan itu.

Ketika tiba di lokasi, Richard melihat kebakaran yang berlaku di bangunan tinggi itu semakin marak. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang udara kota raya New York.

Di antara tingkat 100 ke-107,  masih ramai mangsa yang terperangkap. Malah, ada di kalangan mereka yang nekad untuk terjun menyelamatkan diri.

Ketika inilah Richard mengacukan lensanya dan memotret foto individu-individu yang terjun dari bangunan yang sedang terbakar itu. Dalam banyak-banyak gambar yang diambil, foto memaparkan lelaki yang terjun dengan kepala ke bawah adalah antara potret paling menarik perhatian beliau.

Dianggarkan, sekurang-kurangnya 200 orang mangsa telah mengambil keputusan untuk terjun dalam tragedi itu. Tidak seperti gambar pelompat lain, mangsa di dalam foto berkenaan nampak begitu tenang. Lelaki itu seakan menerima nasib dan ajal beliau yang akan berakhir pada hari itu.

Siapakah lelaki yang terjun itu? Selama beberapa tahun, persoalan ini tersebar tanpa sebarang jawapan.

Pada awalnya beliau dikenali sebagai Norberto Hernandez, seorang pekerja restoran yang berasal dari Puerto Rico. Tetapi, ahli keluarganya menolak dakwaan bahawa lelaki dalam gambar itu adalah Norberto.

Identiti lelaki dalam foto ikonik ini akhirnya didedahkan kepada umum pada 2007 melalui laporan yang dikeluarkan oleh majalah Esquire. Lelaki dalam foto ikonik yang digelar ‘The Falling Man’ itu dikenali sebagai Jonathan Briley, 43 tahun, seorang jurutera bunyi yang bekerja di Restoran Windows of The World yang berada di tingkat 106 dan 107. Jonathan berasal dari New York dan mempunyai seorang isteri bernama Hillary.

Jasad beliau berjaya dikenal pasti oleh abangnya melalui kasut dan baju berwarna jingga yang dipakai oleh lelaki tersebut pada hari berkenaan. Kasut yang dipakai Jonathan kini diletakkan di dalam garaj milik abangnya sebagai memorial untuknya.

Jonathan Briley, lelaki yang terjun dalam foto itu.

Akhirnya, persoalan yang terbiar selama enam tahun terjawab.  Cuma ada satu sahaja soalan yang masih menjadi misteri iaitu apakah yang difikirkan oleh Jonathan Briley beberapa ketika sebelum beliau menemui ajalnya?

Dengan udara yang dicemari asap tebal dan pernafasan yang semakin terganggu, mungkin pada ketika itu, Jonathan yang mengidap asma mengambil keputusan untuk terjun.

Barangkali di dalam kepalanya memikirkan untuk melepaskan diri daripada kepanasan dan menghirup udara segar untuk tempoh 10 saat yang terakhir dalam hayatnya.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This