Takut dibedah? Sebutlah kalimah ‘Allah’. Pengkaji Barat turut gunakan kalimah ini untuk pesakit bukan Islam

Dari Penulis

Doa, termasuk juga zikir dan bacaan al-Quran, ternyata mempunyai banyak manfaat kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan spiritual manusia. Beberapa kajian yang dilakukan di Iran dan Indonesia membuktikan doa, zikir dan bacaan al-Quran mampu membantu penyembuhan pesakit dengan lebih berkesan berbanding ubat-ubatan moden atau terapi lain.

Para penyelidik itu menjalankan kajian-kajian tersebut terhadap pesakit-pesakit yang bakal menjalani pembedahan. Sejumlah 82 peratus pesakit menyatakan saat yang paling menakutkan dan membimbangkan mereka ialah apabila perlu menjalani pembedahan.

Apabila pesakit disyorkan supaya menjalani pembedahan, tidak kira ia pembedahan kecil atau besar, mereka akan menganggapnya sebagai satu prosedur besar, lantas menimbulkan rasa bimbang disebabkan mereka takut kepada persekitaran hospital (35 peratus), pembedahan (33 peratus), bius (45 peratus) dan kurang pengetahuan tentang pembedahan (45 peratus). Pesakit turut bimbang kesan pembedahan itu terhadap hidup mereka dan soal kematian.

Bagaimanapun setelah pesakit dan ahli keluarga mereka diberikan terapi dalam bentuk doa, zikir dan bacaan al-Quran, perasaan bimbang sebelum, semasa dan selepas pembedahan dapat dikurangkan.

Rahsia Keberkesanan Terapi Agama

Banyak penyelidik percaya kebimbangan dan ketakutan berkaitan rawatan boleh ditangani dengan lebih baik oleh mereka yang ada pegangan agama. Ini kerana kepercayaan agama seseorang individu akan mempengaruhi sikap, kesedaran dan tingkah lakunya.

Pada 2016, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Mazandran, Sari, Iran mengumpulkan hasil kajian-kajian penyelidik tempatan sehingga 2013 mengenai keberkesanan terapi keagamaan terhadap kebimbangan dalam masyarakat negara itu.

Mereka menemui sejumlah 97 kajian di mana 29 kajian menepati syarat penyelidikan mereka. Semua 23 kajian yang dinilai itu (21 dalam bahasa Farsi dan dua dalam bahasa Inggeris) memperakui keberkesanan penggunaan terapi agama dalam mengurangkan rasa bimbang berbanding kaedah terapi lain.

Dalam kajian pada 2016 yang dilakukan terhadap pesakit yang bakal menjalani pembedahan, penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Kashan, Iran mendapati bacaan surah al-Waqiah serta terjemahannya mampu mengurangkan rasa risau di kalangan pesakit.

Pesakit dalam kumpulan intervensi di Hospital Shahid Beheshti di Iran, diperdengarkan bacaan surah itu dalam sebuah bilik yang sunyi selama 30 minit, sehari sebelum mereka menjalani pembedahan. Bacaan paras kebimbangan mereka menurun daripada 43.3 peratus kepada 29.8 peratus.

Dengan memahami surah itu, pesakit dapat mengalihkan perhatian daripada penyakit dan kesakitan mereka kepada mengingati Tuhan. Keputusan penyelidikan ini disiarkan dalam Health, Spirituality and Medical Ethics yang menyatakan, hasil kajian mungkin berbeza kerana setiap orang mempunyai cara mereka sendiri untuk menangani tekanan dan kepercayaan mempengaruhi reaksi mereka kala diperdengarkan bacaan al-Quran.

Kesan Pada Pesakit Jantung 

Keperluan meredakan kebimbangan ini amat penting pada pesakit yang bakal melalui pembedahan cantuman pintasan arteri koronari (CABG) kerana ia akan mempengaruhi proses pemulihan dan rawatan susulan.

Kebanyakan program untuk menangani kebimbangan bersandar kepada aspek mekanikal dan hanya mengambil kira soal kesihatan fizikal. Ia cuma mengambil kira simptom dan tidak membantu dalam menyingkirkan punca stres, sebab itu simptom tersebut muncul kembali.

Sehubungan itu, para penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Baqiyatallah, Teheran, Iran cuba mencari program menyeluruh yang dapat menangani punca stres tersebut dari kesemua empat aspek kesihatan.

Menggunakan model Ghalb-e Salim (hati baik), pesakit yang bakal menjalani CABG diberikan risalah pendidikan dan pendidikan langsung ketika di hospital.

Kajian mereka yang diterbitkan dalam ‘Jurnal Rawatan Penjagaan Rapi Iran’ pada 2014 menunjukkan, walaupun kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan tidak menunjukkan perbezaan ketara semasa mula dimasukkan ke hospital, kedua-duanya mula menunjukkan perbezaan sejurus sebelum pembedahan di mana kumpulan intervensi menunjukkan rasa bimbang paras sederhana (40 peratus) sedangkan kumpulan kawalan berada pada paras tinggi (80 peratus). 

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Perubatan Ahvaz Jundishapur, Ahvaz, Iran turut melakukan kajian terhadap pesakit kardiovaskular. Menurut mereka, kadar kebimbangan pesakit jantung lebih tinggi kerana penyakit itu mempunyai kesan langsung pada jangka hayat mereka. Selain itu, keperluan untuk berada dalam unit rawatan rapi selepas pembedahan menambah tekanan kepada pesakit kerana faktor persekitaran dan kaedah rawatan.

Bagi menstabilkan keadaan pesakit, kaedah rawatan perubatan dan perubatan komplementari digunakan kerana ada pesakit yang tidak boleh menggunakan ubat-ubatan disebabkan kesan sampingan kepada fisiologi dan psikologi.

Berbeza dengan kajian dahulu yang menyediakan risalah kecil cara berdoa, kali ini penyelidik-penyelidik itu hanya mengkaji kesan menyebut kalimah ‘Allah’.

Sejumlah 80 orang pesakit di Hospital Busheher Bentolhoda itu diberi rawatan yang sama kecuali 40 orang yang diminta supaya bertasbih sebanyak 100 kali. Penyelidik kemudiannya mengambil bacaan pernafasan, denyutan nadi dan ketepuan oksigen dalam darah pesakit.

Mereka melihat ada perbezaan ketara pada kadar denyutan nadi, pernafasan, suhu badan dan ketepuan oksigen dalam tempoh 24 jam, 48 jam dan 72 jam pertama selepas pembedahan di kalangan responden pada masa sebelum dan selepas intervensi.

Didapati, dengan menyebut kalimah ‘Allah’ sahaja pun pesakit dapat mengurangkan kebimbangan mereka. Ini selari dengan penemuan sebelum ini yang mendapati berdoa dan mempunyai kepercayaan pada agama dan al-Quran dapat menyingkir dan menghilangkan rasa takut disebabkan oleh penyakit.

Satu kajian lain pula menyebut seseorang yang merasai pengalaman kerohanian akan mencetuskan proses tertentu dalam otak. Penyelidik itu mendakwa ada ‘titik Tuhan’ dalam otak manusia yang terletak betul-betul di bawah dahi, yang akan menjadi lebih bersinar apabila manusia didedahkan kepada isu-isu kerohanian.

Allah berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Stres mewujudkan kebimbangan. Ia merupakan salah satu faktor yang melemahkan manusia. Namun di kalangan orang yang kuat pegangan agama, rasa bimbang ini tersingkir kerana dia benar-benar yakin kepada kuasa dan perancangan Yang Maha Esa. Segalanya diserahkan kepada Yang Maha Berkuasa, sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 173,  “Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik penolong.”

Menyebut kalimah ‘Allah’ mempunyai kesan yang baik kepada kesihatan pesakit. Perkara ini dibuktikan oleh banyak kajian saintifik. Seorang profesor di Universiti Amsterdam telah melakukan kajian selama tiga tahun terhadap pesakit yang menyebut kalimah ini.

Apa yang menarik, kajian yang dilakukan oleh Profesor Hoven ini menggunakan responden bukan Islam dan tidak boleh bertutur bahasa Arab. Dengan hanya menyebut kalimah ini, keadaan pesakit menjadi semakin stabil.

Menurut Profesor Hoven, huruf pertama dalam kalimah itu, ‘A’ disebut dengan menggunakan bahagian atas dada dan sekali gus ini mengawal pernafasan. Sekiranya diulang-ulang, ia akan menstabilkan pernafasan dan memberi rasa tenang dalam diri.

Huruf kedua, ‘L’ dijelaskan dengan menyentuh hujung lidah ke bahagian atas lelangit. Bila diulangi, pergerakan ini membuatkan suara terhenti buat beberapa saat dan kesenyapan ini memberi rasa selesa semasa bernafas.

Huruf terakhir ‘H’ dijelaskan apabila udara dikeluarkan dari paru-paru menerusi mulut. Apabila menyebut huruf ini, jantung akan berdegup secara normal dan tetap.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This