TIDAK sengaja dan hanya mahu menjadi ‘keyboard warrior’ antara alasan yang digunakan oleh seorang lelaki yang didakwa atas satu pertuduhan membuat hantaran jelik di media sosial berhubung isu kalimah ‘Allah’ pada stoking yang dijual di sebuah rangkaian kedai serbaneka, minggu lalu.
Tertuduh, Chiok Wai Loong, 35, berkata demikian ketika merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin hari ini.
Antara alasan lain yang dikemukakan dalam rayuan lelaki itu yang juga merupakan juruteknik aplikasi sosial, adalah dia tidak mengetahui bahawa kalimah ‘Allah’ yang ditulis menerusi hantarannya menghina agama islam.
Wai Loong turut merayu agar tidak dijatuhkan hukuman penjara selain memberitahu bahawa dia tiada niat untuk menghina agama ketika kejadian.
“Saya tak sengaja, saya hanya mahu menjadi ‘keyboard warrior’. Saya tak tahu perkataan ini boleh jadi menghina.
“Kami orang Cina ada rantai kaki dan tangan serta tatu Tuhan di pelbagai bahagian badan. Ingat hanya kecil punya hal, saya tak tahu ia menghina,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan hujah bahawa isu berkaitan agama tidak boleh dipermainkan selain menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.
“Sebanyak 24 laporan polis dibuat orang ramai berhubung isu ini yang menunjukkan keseriusan hantaran dibuat bersifat sensitif kepada penganut agama Islam,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Suzana menjatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan dan mengenakan denda sebanyak RM12,000 ke atas tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Mac lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Wai Loong didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dengan menggunakan nama profil “Chiok Wai Loong” di Facebook pada 18 Mac 2024.
Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3.00 pagi di daerah Brickfields di sini.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada semalam media melaporkan pihak polis menahan seorang lelaki di sekitar Cheras pada 20 Mac lalu yang merupakan pemilik akaun Facebook yang tular ekoran hantaran berbaur menghina agama.
Hantaran jelik itu adalah berhubung isu penjualan stoking kalimah Allah di kedai serbaneka, KK Mart baru-baru ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

