Nak dekat hari raya, salah satu benda yang dicari oleh golongan wanita ialah marjerin yang menjadi antara bahan asas paling popular di dunia untuk membuat kek, biskut dan juga sapuan roti.
Hari ini, sesiapa boleh membeli marjerin di mana-mana saja di serata dunia. Namun, tahukah anda kisah marjerin yang pernah diharamkan satu ketika dahulu?
Salah satu kawasan yang mengharamkan pembelian marjerin ialah di negeri Missouri, Amerika Syarikat. Jangankan membeli, menggunakan marjerin di negeri itu sama ada untuk menggoreng, memasak kuih muih bahkan hanya untuk sapuan roti juga ditegah sama sekali.

Mengapa undang-undang aneh begitu diwujudkan? Larangan tersebut bukan sesuatu yang baru. Bukti dokumentasi menunjukkan pengharaman ke atas marjerin telah lama wujud di Missouri, namun ramai tidak tahu tentang kewujudan undang-undang tersebut.
Sejarah marjerin agak kontroversi. Ramai yang tidak tahu bahawa bahan tersebut pernah disanggah dan diperdebatkan sekitar beberapa abad yang lalu.
Diskusi tentang marjerin dikatakan tercetus awal tahun 1813 lagi iaitu selepas seorang ilmuwan Perancis, Michel Eugene Chevreul, berhasil menemukan sejenis asid lemak, dipanggil ‘acide margaruite’. Nama itu diambil daripada perkataan Yunani ‘margarites’ bermaksud ‘bak mutiara’ – sesuai dengan sifatnya ketika mula-mula dijumpai yakni berupa endapan berkilau seperti mutiara.
Ketika itu, bahan dasar untuk membuat marjerin asalnya menggunakan lemak nabati atau minyak sayur-sayuran. Bagaimanapun, pemerintah Perancis telah campur tangan dan menggunakan kuasanya dengan mengarahkan agar bahan sihat itu digantikan dengan bahan lain yang lebih murah.
Pada tahun 1869, seorang ahli kimia Perancis bernama Hippolyte Mege-Mouries berjaya merealisasikan impian pihak pemerintah. Menerusi kajian makmal, beliau menemukan satu campuran baru dalam pembuatan marjerin, iaitu dari tenusu dan lemak lembu. Ia kemudian dipatenkan dan menerima pengiktirafan daripada pihak pemerintah.

Penemuan tersebut menggembirakan pihak kerajaan. Mengapa? Pada masa itu, pemerintah dikatakan telah menggunakan pengaruh politik yang hebat dalam mengaut keuntungan dari industri tenusu. Atas sebab itulah, kerajaan bersungguh-sungguh mengarahkan, lemak nabati yang diguna sebelumnya diganti dengan bahan yang lebih murah dan tidak mudah rosak iaitu dari lemak tepu.
Pada awalnya, produk tiruan yang diberi nama ‘oleomargarine’ itu sangat susah untuk dipasarkan. Sampaikan satu ketika di mana Mege-Mouries sendiri terpaksa meminta pertolongan daripada perusahaan Belanda untuk membantunya memasarkan produk tersebut.
Malangnya, Mege-Mouries tidak menerima layanan istimewa atas penemuannya itu. Paling sedih, pada saat kematiannya sekitar tahun 1880, beliau meninggal dunia dalam keadaan miskin dan papa kedana. Bahkan, perusahaan membuat marjerin turut diambil alih oleh Jurgens, sebuah syarikat terkemuka dari Belanda.
Sejak itu, pengusaha-pengusaha Belanda cuba melakukan inovasi dengan mewarnakan marjerin yang asalnya berwarna putih menjadi kuning serupa mentega. Walaupun Mege-Mouries sudah tiada, penciptaan marjerin tiruan terus dipertikaikan hingga menyebabkan perang antara industri tenusu dan pengeluar marjerin.

Lama kelamaan, populariti marjerin kian berkembang dan jualannya lebih tinggi daripada mentega. Dalam perbalahan itu, pihak-pihak tertentu secara terbuka meremehkan marjerin dan meyakinkan para penggubal undang-undang supaya mengharamkan pengeluaran marjerin.
Akhirnya, beberapa buah kawasan seperti New York, Michigan, Maine, Pennsylvania, Ohio, Wisconsin, termasuklah Missouri telah bersetuju untuk menguatkuasakan larangan tersebut. Sebahagian negara lain pula membenarkan penjualan marjerin tetapi mengharamkan penjualan marjerin kuning.
Hukuman yang dikenakan kepada pesalah boleh tahan berat. Untuk kesalahan pertama, denda yang dikenakan adalah sebanyak USD100 (RM408). Manakala denda sebanyak USD500 (RM2,040) dan penjara enam bulan bakal dijatuhkan untuk kesalahan berulang.
Sarah Alsager, seorang jurucakap dari Jabatan Pertanian tempatan melaporkan bahawa mereka tidak tahu bila kali terakhir seseorang dihukum kerana kesalahan tersebut. Ini kerana ramai tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya pesalah undang-undang apabila menggunaan marjerin.
Pada tahun 2010, Missouri telah menyemak rang undang-undang setebal 192 halaman dan menghapuskan berpuluh-puluh peruntukan dan undang-undang yang telah tamat tempoh, termasuklah memansuhkan larangan penggunaan marjerin kuning.
Sejak itu, penduduk Missouri bebas untuk membeli dan menggunakan marjerin di negeri tersebut tanpa perlu risau akan melanggar undang-undang dan dikenakan denda.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

