Bagi dinasti-dinasti empayar China zaman dahulu, banyak sistem undang-undang dirangka dalam pentadbiran untuk menjaga keamanan dan mengawal tingkah laku rakyat. Namun, dalam keadaan pentadbiran yang selalu bergolak dengan peperangan dan pemberontakan, ada antara hukuman yang diwujudkan itu kedengaran pelik dan lucu.
Dalam karya Mencius, sebuah koleksi cerita yang disusun pada abad ke-4 Sebelum Masihi mengenai seorang sarjana Konfusianisme dengan nama yang sama, ahli falsafah itu dipetik berkata, “Tiada apa yang boleh dicapai tanpa peraturan dan piawaian.”
Ini antara beberapa jenis hukuman yang dianggap pelik pada zaman China purba…
Hukuman Berdasarkan Ketinggian
Kebanyakan hukuman pada zaman sekarang menetapkan kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah atas kesalahan yang mereka lakukan. Namun pada zaman dinasti Qin (221 – 206 SM), yang menentukan orang itu akan berdepan hukuman bukanlah umur tetapi ketinggian.
Menurut “Lapan Belas Undang-Undang Qin”, sebuah kod undang-undang yang ditulis pada kepingan buluh dan ditemui di Hubei pada tahun 1975, lelaki yang tingginya kurang dari 1.5 meter ke bawah dan wanita yang tingginya kurang dari 1.43 meter tidak boleh dihukum atas jenayah.
Ini kerana pada zaman tersebut, sistem pendaftaran rumah tangga (hukou) masih tidak lengkap, menjadikan sukar untuk mengesahkan umur seseorang. Sebaliknya, kerajaan menggunakan ketinggian untuk menentukan bila seseorang itu dianggap sudah dewasa.
Lebih menarik lagi, Qin Shi Huang, pengasas dinasti Qin, dilaporkan hanya mencapai ketinggian 1.5 meter ketika berusia 22 tahun, jadi beliau dipercayai berpendapat bahawa rakyatnya hanya boleh dianggap dewasa apabila mereka lebih tinggi darinya.

Tidak Boleh Menangis
Pada zaman Dinasti Qin, ada rekod yang menunjukkan lelaki dilarang menangis. Jika seorang lelaki dewasa didapati menangis, janggut dan keningnya akan dicukur sebagai hukuman. Dinasti Qin terkenal dengan pemujaan terhadap semangat perang dan tradisi pahlawan, jadi menangis dianggap sebagai tanda kelemahan pada kaum lelaki.
Tiga Orang Mabuk
Nak duduk bersantai dengan rakan-rakan sambil minum alkohol sampai mabuk, itu bukan perkara yang boleh dilakukan pada zaman Dinasti Han. Undang-undang pada masa itu menyatakan bahawa jika terdapat  tiga orang atau lebih berkumpul untuk minum, mereka akan didenda sebanyak empat tahil emas. Rakyat hanya dibenarkan berkumpul bersama pada majlis perkahwinan, pengebumian atau perayaan. Undang-undang ini dibuat untuk mengawal rakyat yang mabuk daripada menimbulkan kekacauan dan keganasan sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Jaga Sampah Anda
Pada zaman Dinasti Shang, sesiapa yang membuang sampah di jalan raya akan ditangkap dan dipotong tangannya. Seram dengar, kan? Undang-undang zaman moden pun hanya denda saja.
Minum Dakwat Jika Tulisan Buruk
Semasa zaman Dinasti Sui, sistem peperiksaan menetapkan peraturan yang agak pelik. Sesiapa sahaja boleh mengambil ujian untuk menjadi pegawai kerajaan. Namun, yang ditakuti bukanlah gagal, tetapi tulisan yang buruk.
Menurut Book of Sui, rekod rasmi sejarah Dinasti Sui, undang-undang Sui menetapkan calon peperiksaan dengan tulisan tangan yang buruk akan dihukum dengan memaksa mereka minum satu sheng (sekitar 200 mililiter) dakwat. Berpegang pada teori bahawa jawapan peperiksaan ditulis untuk diserahkan kepada maharaja, maka tulisan yang buruk dianggap sebagai satu penghinaan kepada pemerintah.
Hormati Ikan Kap
Menurut rekod The Miscellany of Youyang tentang adat resam dan perubatan herba zaman Dinasti Tang, ikan kap disebut sebagai ‘Lord Red Carp’ untuk menunjukkan tanda hormat kepada keluarga diraja. Peraturan juga menyebut, mereka yang menangkap ikan kap harus segera melepaskan ikan tersebut, tidak boleh memakannya dan orang yang menjual ikan kap akan disebat 60 kali. Ikan kap mempunyai sebutan yang sama dengan nama keluarga maharaja Tang dalam bahasa Cina. Sebab itu ikan ini perlu dihormati.

Jangan Pegang Ayam Terbalik
Maharaja Renzong dari Dinasti Yuan pula lebih hormatkan ayam. Ahli sejarah zaman Dinasti Yuan, Yang Yu, mencatatkan bahawa semasa pemerintahan Renzong, rakyat tidak dibenarkan memegang ayam dengan cara terbalik (memegang bahagian kaki ayam dengan kepalanya terjuntai ke bawah). Sesiapa yang melanggarnya akan dihukum. Peraturan begini mungkin kerana zodiak maharaja adalah ayam.
Jaga Langit Sepanjang Hayat
Pada zaman dahulu, maharaja dikenali sebagai ‘Son of Heaven’. Kerajaan sering mengukuhkan idea berkaitan hak maharaja untuk memerintah dengan cerita dan simbolisme yang kelihatan menunjukkan langit juga bersetuju terhadap apa saja yang dibuat maharaja. Banyak daripadanya berkaitan dengan astronomi dengan kajian tentang objek-objek di langit sering dianggap sebagai ramalan masa depan empayar dan pemerintahannya. Sejak dinasti Qin, kerajaan-kerajaan mempunyai jabatan khas untuk memerhati fenomena langit, menyusun kalendar dan memberi nasihat berdasarkan pemerhatian langit.
Apabila Zhu Yuanzhang, maharaja pertama Dinasti Ming (1368 – 1644) berkuasa, beliau memutuskan bahawa undang-undang diperlukan untuk mengawal lebih ketat biro astronomi kerajaan. Beliau mengeluarkan peraturan yang mengikat semua pegawai di biro tersebut untuk kekal di jawatan mereka, melarang mereka berpindah ke jabatan lain. Apa yang lebih menarik, keturunan mereka juga terikat dengan bidang astronomi dan dilarang terlibat dalam bidang pekerjaan lain. Hukuman jika melanggar undang-undang ini adalah pengasingan.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

