BIARPUN terpalit dengan kontroversi hangat, drama Bidaah diangkat sebagai drama nombor satu paling popular di Malaysia dan Indonesia menerusi platform penstriman Viu.
Drama lakonan Fattah Amin, Riena Diana, Faizal Hussein dan Vanidah Imran itu juga tersenarai antara carian paling popular dalam kalangan pengguna di Asia termasuklah Thailand, Singapura dan Brunei menerusi data Google Trends.
Penerbitnya, Erma Fatima meluahkan rasa syukur dengan kejayan itu selain menganggap hikmah disebalik pelbagai dugaan yang menghambat sejak drama terbabit di tayangklan pada 6 Mac lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana memang niat nak buat drama ini supaya didengar oleh Allah walaupun ada banyak kecaman dan kekhilafan yang sudah pihak saya lakukan.
“Tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin kami sampaikan kepada penonton dan harap penonton dapat manfaat serta pengajaran daripada drama ini.
“Mungkin ini adalah hikmah yang saya terima selepas bertubi-tubi kena kecam daripada pelbagai sudut. Tiada lain yang saya harapkan melainkan mesej itu disampaikan dengan baik,” katanya kepada URTV.
Tambahnya, kejayaan itu juga sebagai sesuatu yang indah selepas bertubi-tubi kecaman yang dilemparkan kepada produksinya sepanjang menyiapkan drama Bidaah.
“Terima kasih Viu kerana terpaksa menghadapi banyak masalah dengan drama ini. Mereka juga perlu hadap kecaman dan bermacam lagi tetapi ini adalah ganjaran daripada Allah untuk Viu di atas kejayaan ini.
“Tidak dilupakan terima kasih kepada penonton di Indonesia dan Malaysia. Saya sebenarnya tak sangka hingga ke tahap ini,” ujarnya.
Bidaah mencatat 134 juta jumlah tontonan serta 44 juta capaian menerusi media sosial Viu Malaysia.
Pencapaian BIdaah itu juga berjaya mengatasi drama bersiri dari Korea Selatan yang popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group.
Selain Faizal, Riena dan Fattah, pelakon lain yang terlibat dalam drama idea asal Erma Fatima itu ialah Fazlina Ahmad Daud, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Marisa Yasmin dan Hasnul Rahmat.
Sebelum ini, Erma akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memintanya memotong dua adegan drama itu yang dikesan tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.
Drama yang mengangkat kisah ajaran sesat itu mengundang reaksi netizen selepas tular babak panas Ummi Rabiatul lakonan Vanidah menyentuh janggut Faizal (Walid) menggunakan kaki dalam satu babak atas katil.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

