Tidurlah sekejap pada waktu siang, kerana syaitan tidak tidur siang

Dari Penulis

Pernahkah anda lihat notis arahan di surau atau masjid yang berbunyi – `Dilarang tidur di dalam surau’ atau yang lebih sinis, `Surau bukan tempat tidur’.

Ada orang yang menjadikan surau sebagai tempat berehat seketika (termasuk tidur) terutamanya bagi mereka yang bekerja di pejabat. Namun, segelintir orang dalam masyarakat kita memandang tidur siang di surau dan masjid sebagai sesuatu yang negatif.

Bagi yang mempunyai persepsi negatif terhadap orang yang tidur siang, ubahlah persepsi itu. Tidur siang atau meridap merupakan salah satu amalan Rasulullah s.a.w.

Apabila pengaruh Islam berkembang pada zaman kegemilangannya, budaya ini turut tersebar ke negara-negara Eropah, seterusnya ke benua-benua lain dunia apabila ia dijajah oleh kuasa Eropah ini. Antara negara yang mengamalkan budaya tidur siang ini ialah Sepanyol, Itali, Greece, Filipina, Mexico, Costa Rica, Ecuador dan Nigeria.

Sebuah masjid di Nigeria yang membenarkan jemaah tidur siang.

Kajian sains membuktikan bahawa tidur siang mempunyai banyak manfaat kepada fisiologi dan mental pengamalnya. Sehubungan itu, syarikat-syarikat terkemuka dunia seperti Nike, Google dan Facebook turut  menyediakan ruang tidur untuk pekerjanya bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Lima Jenis Tidur

Kesan positif tidur siang hanya boleh diraih jika ia dilakukan pada masa, cara dan tempoh tertentu.

Penyelidik dari Arab Saudi, Ahmed S.BaHammam menyatakan, perkataan `tidur’ muncul sebanyak sembilan kali dalam al-Quran tetapi tidur yang dinyatakan itu berbeza-beza definisinya.

Menurut beliau dalam kajiannya bertajuk ‘Tidur Dari Perspektif Islam‘, secara umum tidur disebut noum dalam bahasa Arab, namun al-Quran menggunakan perkataan berbeza bagi merujuk kepada jenis-jenis tidur yang berlainan.

Beliau membahagikan tidur itu kepada lima jenis, iaitu:

1.Sinah – didefinisikan sebagai `tidur dalam jangka waktu yang pendek’ dan mudah terjaga bila ada stimulasi persekitaran. BaHammam menyamakan tidur sebegini dengan tidur tahap satu oleh saintis tidur moden. Perkataan sinah diambil dari surah al-Baqarah, ayat 255; “…Yang tidak mengantuk usahkan tidur…’’

    2.Nu’ass  – merujuk kepada tidur yang didatangkan kepada mereka yang berada dalam keadaan takut dan tertekan. Tidur jenis ini menyamai tidur tahap satu dan dua. Perkataan ini digunakan sebanyak dua kali, iaitu dalam surah al-Anfaal, ayat 11; “(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu).’’ dan surah Ali-Imraan, ayat 154;  “Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas) sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri.”

    3.Hojoo – istilah ini menggambarkan penganut beriman yang takut kepada Allah. “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).’’ (adz-Dzaariyaat: 17-18)

    4.Ruqood – banyak interpretasi diberikan kepada perkataan ini namun BaHammam berpendapat interpretasi paling tepat ialah ‘tidur dalam jangka waktu yang lama’ sebagaimana yang diceritakan mengenai pemuda-pemuda di Gua Kahfi.  “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur…’’ (al-Kahfi: 18).

    5.Subaat  – akar perkataan ini ialah `Sabt’ yang bermaksud memisahkan. Ia mungkin merujuk kepada pemisahan daripada alam sekeliling ketika tidur. “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?’’ (an-Naba: 9). Ia dianggap sejenis tidur yang nyenyak, menyamai tidur gelombang perlahan (SWS – slow wave sleep) dalam sains tidur.

    Amalkanlah Pasti Ada Kebaikan

    Berdasarkan banyak kajian, tempoh tidur malam yang disarankan untuk orang dewasa ialah lapan jam. Mereka yang mendapat tidur kurang daripada enam jam semalam selama empat hari berturut-turut atau lebih, mungkin menerima kesan negatif pada fungsi kognitif dan fisiologi, serta terganggu selera makan, kawalan imunisasi, fungsi metabolisme dan endokrin, selain membawa kepada masalah kemurungan dan kebimbangan pada peringkat awal kanak-kanak.

    Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya, mengkaji amalan tidur sekejap semasa siang dari sudut sains neurologi dan Islam. Kajian Mohd Amzari Tumiran, Noor Naemah Abdul Rahman, Rohaida Mohd. Saat, Nurul Kabir, Mohd. Yakub Zulkifli and Durriyyah Sharifah Hasan Adli ini telah diterbitkan dalam Journal of Religion and Health.

    Pakar neurologi mengesyorkan tidur siang untuk menggantikan masa tidur yang terganggu. Selain itu, ia (tidur siang) boleh digunakan untuk mereka yang bakal berjaga dan juga untuk merehatkan diri.

    Bahkan seseorang yang cukup tidur pun boleh mendapat manfaat daripada tidur siang yang boleh meningkatkan kewaspadaan (alertness), tindak balas, mod, memori dan prestasi kognitif.

    Dalam kajian terbaru, tidur sekejap waktu siang juga membantu dalam terapi penyembuhan dan rawatan perubatan seperti mengurangkan stres dan tekanan darah serta merangsang penyembuhan positif dalam penyakit kardiovaskular.

    Abu Ma’mar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warits, dari Ayub, daripada Abu Qibalah, daripada Anas bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jika salah seorang dari kalian mengantuk saat solat, hendaklah dia tidur (dulu) sehingga dia mengetahui apa yang dia baca.’’ (HR Bukhari: 213). “Sebabnya bila solat dalam mengantuk, tanpa sedar, boleh jadi dia bermaksud beristighfar tapi yang terjadi malah sebaliknya.”  (Daripada Aisyah r.a., HR Bukhari: 212)

    Tempoh Meridap Paling Baik

    Dalam satu kajian lain, sekumpulan penyelidik dari Universiti Pennsylvania mendapati, tidur sekejap pada waktu petang boleh meningkatkan daya pemikiran dan ingatan, serta membuatkan otak itu berfungsi seakan-akan ia lima tahun lebih muda.

    Daripada kajian ke atas 3,000 orang warga tua China, mereka mendapati tempoh paling baik untuk meridap ialah selama 60 minit. Mereka yang tidur lebih singkat atau lebih lama daripada tempoh itu, prestasi mereka boleh merosot sehingga enam kali ganda.

    “Orang tua yang tidak tidur atau tidur lebih lama daripada 90 minit, mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menunjukkan prestasi yang teruk berbanding mereka yang tidur antara 30 hingga 90 minit selepas makan tengah hari,’’ ujar mereka dalam kajian tersebut yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Geriatrik Amerika.

    Ada satu lagi kajian yang mengkaji kesan kesihatan meridap di kalangan 23,681 orang dewasa Greek yang sihat selama enam tahun. Para penyelidik mendapati, mereka yang meridap sekejap (selama kira-kira 30 minit) sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, kadar kematian mereka akibat penyakit jantung menurun 37 peratus berbanding mereka yang tidak tidur siang.

    Keputusan kajian itu mengukuhkan penemuan kajian-kajian sebelum itu yang menunjukkan tidur sekejap ada manfaatnya, asalkan ia tidak terlalu lama.

    Kajian-kajian neurosains menyarankan agar meridap dilakukan antara pukul 2 hingga 4 petang, namun tidak selepas 4 petang atau ia akan mengganggu kualiti tidur waktu malam.

    Selain itu, kajian juga melihat tempoh yang berbeza – 20 minit, 15 minit, 10 minit – mempunyai manfaat yang berlainan. Tidur siang yang pendek selama 10 minit pun dapat meningkatkan kesedaran dan prestasi selama 2.5 hingga 4 jam.

    Dalam satu kajian lain, Hayashi dan lain-lain menyatakan, tidur siang dalam tempoh kurang 30 minit mempunyai kesan positif pada kewaspadaan. Tidur siang singkat yang meliputi tidur tahap 2 selama 3 minit boleh mengembalikan kesihatan dan kekuatan sekiranya ia turut meliputi tidur tahap satu.

    Tidur selama 20 minit waktu tengah hari dapat mengekalkan kewaspadaan sepanjang hari. Bagaimanapun, 10 minit adalah yang tempoh yang paling berkesan kerana pada masa ini aktiviti gelombang delta bermula (tidur tahap dua).

    Dalam Islam, menurut penyelidik dari Universiti Malaya berkenaan, meridap boleh dilakukan sebelum atau selepas makan tengah hari, termasuk selepas solat Jumaat seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

    Ketika berpuasa – sepanjang bulan Ramadan dan setiap Isnin dan Khamis (digalakkan) – kebanyakan orang akan kurang masa tidur kerana bangun bersahur. Kekurangan masa tidur malam ini boleh diganti dengan tidur siang.

    Pada 2016, Chronarium Sleep Lab melakukan eksperimen di pusat membeli-belah Arndale di Manchester, United Kingdom. Menurut kajian, tempoh tidur warga UK telah berkurangan beberapa minit berbanding 10 tahun sebelumnya – kebanyakannya mengorbankan masa tidur untuk menggunakan telefon pintar.

    Perkara ini membimbangkan kerana menurut pensyarah kanan psikologi kognitif di Bishop Grosseteste University di Lincoln, Dr. Caroline Horton, “Kekurangan tidur kemudaratan kesihatan yang amat besar pada masa depan.”

    Walaupun belum ada bukti jangka panjang mengenai masalah ini, tetapi kekurangan tidur telah dikaitkan dengan peningkatan kes Alzheimer, dementia, gangguan kesihatan mental dan tempoh pemulihan rawatan kanser yang lebih panjang.

    Menurut Dr. Horton, orang ramai perlu membiasakan diri untuk tidur sekejap pada waktu siang bagi mengelakkan masalah kesihatan yang lebih teruk. “Orang ramai perlu menerima bahawa tidur sekejap pada waktu siang bukanlah satu kelemahan,’’ tegasnya.

    Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Tidurlah sekejap pada waktu siang, kerana Syaitan tidak tidur siang.’’ (Sahih Aljamie.Alalbani 1647)

    ____

    Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
    Ikuti langkah ini:
    Langkah 1: Layari utusantv.com
    Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
    Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
    Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

    Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


    Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
    Ikuti langkah ini:
    Langkah 1: Layari utusantv.com
    Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
    Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
    Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

    Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

    Berkaitan

    Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

    Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam...

    More Articles Like This