KETUA Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan dan pembangkang masih belum mencapai kata putus berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Sambil mengenang nasib ahli-ahli Parlimen tersebut yang menyambut hari lebaran tanpa menerima sebarang peruntukan, Takiyuddin berkata,ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) antara 2020 sehingga 2022 Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang tidak kurang RM3 juta setahun.
“Namun bermula 2022 hingga sekarang, bukan kata juta, sen pun tidak diberi kepada ahli parlimen. Kita di Kelantan bernasib baik sedikit berbanding kawan-kawan (ahli Parlimen) kita di negeri lain.
“Jadi bagaimana rakan kita di Melaka, dia (Melaka) ada enam orang ahli Parlimen, tiga orang PN, 50 peratus ahli Parlimen di Melaka adalah PN, lagi teruk Persekutuan tidak bagi peruntukan langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Aidilfitri Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di di Kota Bharu, lapor HarakahDaily.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Mohd Nasuruddin Daud; Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Amar Abdullah.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, isu rundingan peruntukan tidak menjadi halangan pembangkang untuk melaksanakan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Wakil rakyat kita di Parlimen membawa mandat rakyat dengan baik, lebih-lebih lagi kita di Kelantan, banyak isu dan suara rakyat yang dibawa ke Parlimen untuk diselesaikan oleh kerajaan hari ini.
“Ada yang sudah berjaya, kita cuba main peranan di sana, dan ada yang masih lagi dalam urusan kita untuk kita mainkan peranan untuk membantu kerajaan negeri bawa mandat rakyat,” katanya
*Rumah Terbuka Aidilfitri Pas 2025 di Lukut, Port Dickson
Sementara itu beliau memaklumkan buat julung kali dalam sejarah, Pas memutuskan untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Lukut dalam Parlimen Port Dickson pada 27 April depan.
Beliau berkata, pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menyaksikan PAS berjaya mempunyai tiga wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
“Jadi Pas Pusat pada tahun ini, memilih negeri yang kita julung-julung kali ada wakil rakyat DUN di negeri yang UMNO antara terkuat di dunia, iaitu Negeri Sembilan, kita ada tiga.
“Tahun ini, Pas Pusat memilik Port Dickson sebagai tempat majlis hari terbuka Pas Pusat pada 27 April, iaitu sehari selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Perak,” katanya.

