Hadis bukan semata dari Rasulullah tetapi adalah wahyu Allah!

Dari Penulis

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap daripada umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! siapakah yang enggan itu?” Sabdanya, “Sesiapa yang mentaatiku akan masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, sesungguhnya merekalah yang enggan” (HR Bukhari)

Hadis ini menunjukkan, sesiapa yang menunjukkan komitmen yang penuh terhadap hadis dan sunnah Nabi ia akan masuk ke syurga. Komitmen yang dimaksudkan di sini ialah menjadikan sunnah dan hadis sebagai panduan, memahami dan melaksanakan suruhannya serta meninggalkan larangan-larangan sunnah.

Adapun sekiranya mereka berpaling daripada sunnah bermakna ia meninggalkan suruhan Allah dan Rasul, maka nerakalah baginya. Persoalannya, mengapa perlu mengikut hadis?

Kerana hadis juga adalah wahyu seperti al-Quran.

Hadis, wahyu diriwayatkan dengan makna

Firman Allah dalam surah al-Najm: 3-4, “Dan Dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu sama ada al-Quran atau hadis tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa apa yang dikatakan oleh Baginda s.a.w. adalah dengan perintah dan wahyu dari Allah S.W.T.

Menurut Imam as-Suyuti, beliau telah membahagikan wahyu kepada dua iaitu wahyu yang diriwayatkan dengan lafaz iaitu al-Quran dan wahyu yang diriwayatkan dengan makna iaitu hadis.

Antara perkara yang membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. menerima wahyu selain al-Quran adalah penetapan kiblat.

“Kerap kali Kami melihat engkau wahai Muhammad berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (tempat letaknya Kaabah). Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya” (al-Baqarah: 144)

Ayat di atas menunjukkan bahawa umat Islam mempunyai kiblat lain sebelum diarahkan berpindah kepada Kaabah al-Musyarrafah dan ia adalah Baitul al-Maqdis. Namun begitu tidak terdapat di dalam al-Quran ayat yang mengarahkan supaya menghala ke Bait al-Maqdis. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah menerima wahyu di dalam bentuk lain yang menjadikan Bait al-Maqdis sebagai kiblat yang pertama.

Baginda juga apabila ditanya mengenai sesuatu perkara tidak akan terus menjawab mengikut kemahuan dan nafsunya, kecuali setelah turunnya wahyu. Seperti dalam sebuah kisah dari Jubayr bin Mu’tim, seorang lelaki berkata,

“Wahai Rasulullah! apakah tempat yang paling disukai oleh Allah dan apakah pula tempat yang paling dibenci Allah? Jawab Baginda,

“Aku tidak tahu sehingga aku bertanya kepada Jibril” Lalu Jibril mendatanginya dan menjelaskan tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibencinya adalah pasar”

Sumber Hukum

Kesimpulannya, Rasulullah s.a.w. tidak akan membuat sebarang perkara mengikut kemahuannya sendiri, akan tetapi berdasarkan perintah Allah dan wahyu Nya. Untuk itu juga, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa hadis juga adalah sumber utama dalam pengambilan hukum Islam.

Ianya kerana Allah telah memerintahkan kita supaya mentaati Rasulullah sepertimana di dalam firman Nya surah al-Anfal: 20,

“Wahai orang-orang yang beriman! taatlah kepada Allah dan Rasul Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada Nya sedang kamu mendengar (al-Quran yang mewajibkan taat kepadanya)”

Namun demikian, al-Quran adalah lebih utama daripada hadis Rasulullah, walaupun kedua-duanya adalah wahyu. Ini kerana lafaz susunan dan makna al-Quran adalah daripada Allah dan membacanya adalah ibadah. Al-Quran juga adalah mukjizat, dan ia sampai kepada kita secara mutawatir. 

Hubungan antara Hadis dan al-Quran 

Hadis dan al-Quran mempunyai hubungan yang sangat rapat antara satu sama lain kerana hadis merupakan penjelasan terhadap al-Quran. Imam as-Syafi’e telah menjelaskan bahawa hadis adalah untuk memperkuatkan hukum yang telah didatangkan oleh al-Quran.

Ia juga berfungsi sebagai penerang, penghurai, dan pentafsir al-Quran. Contohnya Allah mewajibkan solat dan haji di dalam al-Quran. Akan tetapi cara pelaksanaan solat dan haji diterangkan oleh Rasulullah menerusi sunnah dan hadisnya.

Selain itu, hadis juga mewujudkan hukum yang tidak disebutkan oleh al-Quran. Antara hukum yang disebut oleh hadis tetapi tidak disebut oleh al-Quran ialah hukum memakan burung yang berkuku panjang, binatang buas yang bertaring, tegahan terhadap wanita yang haid untuk menunaikan solat, haram sebab susuan adalah sama dengan haram sebab nasab keturunan, pengharaman memakai emas dan sutera bagi lelaki dan banyak lagi.

Untuk yang demikian, marilah kita sama-sama meletakkan ketaatan kita kepada Allah dan juga Rasul Nya kerana apa? Kerana Allah berfirman dalam surah an-Nisaa’: 80

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah

Dan juga kerana firman Allah dalam surah al-Ahzab: 36,

Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” Wallahu a’lam

_____________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This