Daripada Abu Abbas r.a. katanya, “Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata, “Ya Rasulullah! tunjukkanlah padaku sesuatu amalan yang apabila amalan itu aku lakukan maka aku akan dicintai oleh Allah dan juga dicintai oleh seluruh manusia” Lalu Nabi bersabda, “Berzuhudlah di dunia, tentu engkau dicintai oleh Allah dan berzuhudlah daripada apa yang dimiliki oleh para manusia, tentu engkau akan dicintai oleh para manusia” (HR Ibnu Majah)
Hadis hasan ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang daripada Allah S.W.T. kita hendaklah bersikap zuhud kepada dunia. Apakah yang dimaksudkan dengan zuhud kepada dunia? Apakah penanda aras zuhud itu diukur kepada miskin atau kaya, atau menolak serta membuang dunia seperti yang difahami oleh sesetengah orang?
Adapun zuhud itu sebenarnya terletak di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dan tidak inginkan dunia. Dunia hanya sekadar digenggam di telapak tangan, tetapi tidak berlabuh di dalam hati.
Orang yang zuhud menjadikan dunia sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Allah. Biarpun kaya, kekayaan digunakan untuk jalan Allah. Dan seandainya miskin, hatinya tetap reda dengan Allah.
Dunia diambil hanya sekadar keperluan. Selebihnya digunakan ke jalan Allah. Orang yang zuhud akan sentiasa dicintai Allah kerana hati orang yang zuhud tidak terikat dengan dunia. Tiada perasaan tamak, sayang dan cintakan dunia. Yang ada di dalam hatinya hanyalah rasa cinta kepada Allah.
Segala nikmat yang diberi oleh Allah kepadanya akan digunakan dan diserahkan kembali kepada Nya. Tiada cinta yang seagung cinta Allah kepada hamba Nya. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang sudah tentu tidak akan mengecewakan hamba Nya dan akan membalas rasa cinta hamba Nya.
Berbeza dengan cinta kepada manusia yang belum tentu berbalas. Cinta Allah berkekalan, cinta manusia pula boleh berkurangan dan tidak akan kekal selama-lamanya. Semakin kita dekat dan cinta kepada Allah, maka semakin dekat dan semakin cinta Allah kepada hamba Nya.
Cinta Allah tidak akan dapat diraih kecuali kita menjadi hamba yang sebenar-benarnya. Lalu bagaimanakah cara untuk menjadi hamba Allah yang sebenar dan mencapai tahap sebagai hamba yang diiktiraf Allah?
Keistimewaan hamba di sisi Allah
Kedudukan hamba sangat istimewa di sisi Allah. Di dalam ayat al-Quran terdapat banyak sekali perkataan hamba yang digunakan oleh Allah sebagai merujuk kepada nabi. Ini sekaligus membuktikan bahawa Allah telah mengiktiraf nabi sebagai hamba Nya dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi berbanding makhluk-makhluk yang lain.
Ulama ada menyebut bahawa setinggi-tinggi kedudukan makhluk pada sisi Allah adalah sebagai hamba Nya. Mengapa dikatakan sedemikian, kerana hamba yang sebenar-benar hamba akan sentiasa patuh kepada arahan tuannya.
Begitulah kita jika ingin menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya kita hendaklah sentiasa tunduk dan patuh kepada aturan yang telah ditetapkan Nya. Allah telah mencipta setiap pekerjaan dengan cukup sempurna sifatnya dan janganlah sesekali kita cuba menandingi dan menafikan setiap kejadian Nya.
Begitu juga dengan segala perintah yang telah Allah wajibkan kepada hamba Nya hendaklah kita melaksanakannya seperti mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan sebagainya, serta menjauhi perbuatan yang dilarang Allah seperti berzina, berjudi, berbuat maksiat dan sebagainya.
Sifat merendah diri juga perlu ada pada setiap seorang hamba. Janganlah ada dalam diri kita sifat sombong dan memegang-megah. kita ini sangat kerdil berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain.
Sentiasalah bermuhasabah diri dan mengenang asal-usul kejadian manusia yang diciptakan Allah daripada setitis air mani yang hina. Malah banyak sekali Allah memperkatakan tentang asal kejadian manusia di dalam ayat-ayat al-Quran supaya manusia menyedari tentang hakikat kejadiannya.
Sebagai hamba, kita hendaklah menyerahkan diri sepenuhnya dan reda dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan Allah. Segala nikmat yang diperoleh seperti rezeki, jodoh, kesihatan dan juga musibah contohnya sakit, kemalangan dan lain-lain telah ditentukan Allah kepada hamba-hamba Nya.
Hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan jangan sesekali kita mempertikaikan Allah sekiranya berlaku sebarang musibah yang menimpa diri. Ingat! setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Wallahu a’lam
________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

