Mohamad Hasan hadir mesyuarat Menteri Luar BRICS di Brazil

Dari Penulis

MENTERI Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan kerja ke Rio de Janeiro, Brazil dari 28 hingga 29 April bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Luar BRICS.

Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad, mesyuarat itu merupakan perhimpunan pertama Menteri Luar Negara Anggota dan Negara Rakan BRICS bagi tahun ini.

Ia juga berfungsi sebagai antara acara utama sebelum Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Julai di bawah kepengerusian Brazil.

Di bawah kepimpinan Brazil, BRICS memberi tumpuan kepada enam bidang keutamaan iaitu kesihatan global; perdagangan, pelaburan dan kewangan; perubahan iklim; kecerdasan buatan; pembaharuan sistem pelbagai hala keamanan dan keselamatan; dan pembangunan institusi BRICS.

“Bidang keutamaan ini sejajar dengan kepentingan nasional dan komitmen Malaysia terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Secara khususnya, penekanan terhadap perdagangan dan pelaburan adalah amat bertepatan pada masanya, memandangkan ketidaktentuan dalam landskap ekonomi global yang semakin meningkat susulan pengenaan tarif secara unilateral oleh Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.

Semasa mesyuarat berkenaan, Mohamad dijadual menyampaikan pernyataan negara Malaysia pada sesi khas bertemakan “Peranan Selatan Global dalam Memperkukuh Multilateralisme”.

Pernyataan itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk memperkukuh multilateralisme serta memperjuangkan suara dan kepentingan negara membangun, selaras dengan objektif utama BRICS 2025.

Malaysia juga dijangka berkongsi pandangan strategiknya mengenai cabaran global utama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan secara aktif mempromosikan kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan BRICS, dengan matlamat memperkukuh kerjasama serantau, meningkatkan jalinan ekonomi dan menggembleng usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025.

-– BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This