BERSEMPENA sedekad dalam industri muzik tanah air, kumpulan Insomniacks bakal mengadakan konsert solo pertama mereka yang diberi nama Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai depan.
Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment berkolaborasi bersama Universal Music itu akan berlangsung di Zepp, KL, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment iaitu Sufi Rashid, konsert itu bakal menjadi satu sejarah besar buat Insomniacks.
Malah penjualan harga tiket juga akan dijual pada harga mampu milik sebagai tanda kumpulan itu menghargai semua peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan Insomniacks selama ini.
“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks sendiri kerana ia adalah konsert solo pertama mereka.
“Untuk jualan tiket pula, kami sepakat menawarkan harga mampu milik supaya peminat-peminat Insomniacks dapat bersama-sama mencipta detik bersejarah tersebut dan ia paling murah pernah dijual di Zepp KL selepas sekian lama,” katanya.

Sentiasa tampil dengan karya yang segar dan menjadi siulan ramai, kumpulan ini memiliki peminat yang tersendiri bukan sahaja di Malaysia malah dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Insomniacks dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie selaku penyanyi utama, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar).

Antara lagu-lagu popular yang menjadi siulan adalah Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam.
Kolaborasi Insomniacks bersama penyanyi Nabila Razali menerusi lagu Cerita Kita juga berjaya meraih tempat di kalangan penggemar muzik tempatan dan antarabangsa.
Malah, lagu Belum Mulai duet bersama penyanyi dari Indonesia, Nabila Taqiyyah berjaya dinobat sebagai Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.
Insomniacks mula ditubuhkan pada tahun 2015 dan permulaan band ini bermula dengan sering memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di saluran YouTube mereka.

Tidak hanya itu, Insomniacks juga pernah mendapat pengiktirafan meluas menerusi empat buah lagu yang berjaya menembusi Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia) Domestic Chart iaitu melalui lagu Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Igauan Malam.
Mereka turut melakar sejarah apabila menjadi artis pertama yang mempunyai empat buah lagu di carta berkenaan.
Insomniacks juga adalah artis Malaysia kelima paling banyak distrim di aplikasi Spotify pada 2024.

Harga tiket konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream ini bermula pada RM138 (Maniacks, standing), RM168 (Sempurna, seating), RM228 (Reminisensi, seating), dan RM6888 (Pulang, VIP box).
Tiket konsert boleh dibeli melalui laman sesawang Ticketmelon bermula 5 Mei ini.
Untuk maklumat lanjut, hubungi SAH Entertainment menerusi emel [email protected].


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

