AHLI perniagaan Ezwan Zain memberi bayangan sudah bersedia untuk melangkah ke fasa lebih serius iaitu ke jenjang pelamin bersama Primadona Filem Melayu, Erra Fazira.
Ezwan atau lebih dikenali sebagai Mr. E,44, menganggap kedua mereka sudah cukup matang sepanjang mengenali hati budi sekaligus enggan berlama-lama tanpa ikatan sah.
“Selalunya perkara yang baik ini, kalau boleh biarlah dipercepatkan. Cumanya, kami masih tidak tahu sama ada perkara itu (kahwin) akan berlaku tahun ini atau tahun depan.
“Kami sudah matang, jadinya hubungan ini dilalui dengan tenang-tenang saja. Tapi, mesti ada perancangan…tak boleh dibiarkan tergantung begitu saja.
“Walaupun kita ‘go with the flow’, tapi saya maklumkan kepada Erra, hubungan ini harus ada hala tuju,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Raya Sempoi Mind Order di Kueh Cafe, Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor, ,malam tadi.
Pada masa sama, Ezwan akui mereka memiliki persamaan iaitu ingin melayari kehidupan dunia dan akhirat seiring dengan kematangan usia tanpa tekanan.
“Kami berkongsi visi dan misi yang sama sesuai dengan peringkat usia. Maksudnya, kehidupan yang selepas itu yang bagaimana, apa yang kita nak kejarkan.
“Itu yang kami kongsi matlamat sama. Kami rasanya mahukan hubungan ini diakhiri dengan pekrara yang baik (pernikahan). Saya juga orang berniaga, sudah tentu mahu kongsikan sesuatu kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Erra atau Fazira Wan Chek,51, tidak berasa tertekan sepanjang menjalinkan hubungan bersama Ezwan sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, mereka bersahabat baik dan pada masa sama, masing-masing menghormati serta tidak mendesak lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal hati.
“Kami memang ada berbincang mengenai hubungan ini tetapi itu bukanlah satu tekanan. Masing-masing tak bagi tekanan.
“Nak melangkah ke fasa depan itu, kami perlukan restu semua termasuklah keluarga kedua belah pihak.
“Tapi buat masa ini, kami belum libatkan anak-anak. Apa yang pasti, buat masa ini saya sangat gembira,” ulasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

