STESEN islamik TV AlHijrah kini menyiarkan sebuah program istimewa bertajuk Alumni Haji, sebuah bual bicara berkonsepkan podcast yang membawa penonton menyelami semula perjalanan spiritual para jemaah haji yang menemui penonton setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.30 petang, bermula 5 Mei hingga 4 Jun ini.
Diterbitkan dengan eleman yang segar dan dekat di hati penonton, program ini menampilkan kisah-kisah peribadi menyentuh jiwa, penuh nilai pengajaran dan sarat hikmah.
Program yang dirakamkan sepenuhnya di studio TV AlHijrahitu dihoskan oleh pendakwah bebas, Ustaz Fazrul Ismail yang turut menyumbang kisah pengajaran dan tauladan sekaligus membantu jemaah yang bakal bertamu di Haramain kelak.

Antara pengisian utama termasuk pengalaman mendalam para jemaah sewaktu menunaikan rukun-rukun haji, detik-detik penuh keinsafan sewaktu wukuf di Arafah, serta pelbagai ujian fizikal dan emosi yang mereka tempuhi. Tidak kurang juga kisah luar biasa dan keajaiban yang dirasai sebagai tanda kasih dan rahmat Allah, yang mengubah cara pandang mereka terhadap kehidupan secara keseluruhan.
Melalui gaya penyampaian yang santai namun penuh pengisian rohani, program ini memberi ruang kepada para alumni haji untuk berkongsi kisah mereka secara terbuka dan ikhlas. Setiap episod berfungsi bukan sahaja sebagai ruang dokumentasi, malah sebagai alat dakwah dan peringatan kepada diri mereka sendiri, dan kepada umat Islam yang menyaksikan.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, ramai jemaah pulang dengan cerita yang sarat hikmah, tetapi tiada ruang untuk mereka kongsikan secara meluas. Program ini menjadi jambatan agar kisah itu tidak hilang begitu sahaja, malah menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam yang lain.

“Di TV AlHijrah, kami tidak sekadar mahu menyiarkan sebuah program. Kami mahu mencipta ruang yang hidup, tempat di mana para alumni haji boleh kembali duduk bersama, berkongsi pengalaman, memperbaharui azam, dan menyemai kekuatan rohani yang pernah mereka rasai.
“Ini bukan tentang mengenang semata-mata, tetapi tentang meneruskan perjalanan agar semangat haji terus mengalir dalam kehidupan.
“Penonton bukan sekadar mendengar cerita, tetapi diajak untuk merenung, muhasabah, dan memperbaharui semangat dalam menghidupkan makna haji dalam kehidupan seharian,” katanya.

Alumni Haji turut dirangka sebagai respons kepada kekosongan sokongan pasca-haji yang sering dihadapi oleh jemaah. Ramai antara mereka mengakui rasa kehilangan arah selepas kembali ke tanah air dek suasana yang berbeza, tanggungjawab yang berubah, dan cabaran untuk kekal istiqamah dalam amal.
Justeru, program ini hadir sebagai sebuah wadah untuk saling menguatkan, saling mengingatkan dan menyatukan kembali mereka yang pernah berkongsi perjalanan agung di Tanah Suci.

TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang pernah bergelar tetamu Allah, untuk bersama mengikuti siaran ini. Jadikan kisah mereka sebagai cermin untuk melihat ke dalam diri, dan cerminan yang memberi pedoman buat generasi seterusnya agar Haji yang mabrur tidak hanya menjadi kenangan tetapi terus hidup dalam amalan, akhlak dan cara hidup harian.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

