PELAKON Amyra Rosli, 35, tidak menyangka tindakannya mengangkat barangan berat baru-baru ini membawa kepada berlakunya pendarahan.
Namun begitu, Amyra atau Nur Amira Izzati,34, menegaskan situasi itu tidak berpunca daripada keguguran atau isu berkaitan kehamilan.

“Kejadian berlaku beberapa hari selepas Amar berangkat ke misi Journey To Tanah Haram. Buat masa ini, saya tidak mengandung.
“Namun pada awalnya, keadaannya kelihatan seperti kemungkinan itu (keguguran) kerana saya mengalami sedikit pendarahan.
“Selepas berjumpa doktor, dia menjelaskan pendarahan tersebut mungkin berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon.
“Pendarahan itu tidak serius dan doktor juga menegaskan ia tiada kaitan dengan kehamilan aktif.
“Kemungkinan besar ia petanda kepada kehamilan yang tidak menjadi. Doktor sendiri tidak dapat memberikan kepastian penuh, namun syukur ia bukan masalah besar,” katanya kepada URTV.

Tambah Amyra yang juga pengacara program Nona itu memaklumkan dia tidak menjalani pemeriksaan susulan pendarahan berhenti selepas mengambil ubat.
“Pendarahan berlaku sekitar lima hari saja. Ia berlaku selepas saya mengangkat anak, bukanlah bebanan yang berat.
“Yang buatkan saya hairan, ia bukan pendarahan haid kerana tempoh kitaran belum tiba. Disebabkan itulah, saya ke klinik untuk buat pemeriksaan.
“Pada mulanya saya sangka ia permulaan haid, tapi pendarahan tak seperti biasa. Doktor beritahu ia boleh jadi akibat stres, keletihan, atau hormon tak stabil.
“Tapi bila ia berhenti selepas beberapa hari, saya rasa tak perlu rawatan lanjut. Saya percaya badan saya dah kembali pulih,” kongsinya.
Kejadian tersebut turut dikongsi dengan suaminya iaitu pelakon Amar Baharin secara ringkas memandangkan dia enggan membebankannya yang ketika itu berada dalam misi kayuhan menuju Tanah Suci.
“Saya ada beritahu Amar, tapi tidak terlalu terperinci. Saya tak mahu dia risau memandangkan dia tiada di sini,” ujarnya.
Terdahulu, Amyra hadir ke majlis pelancaran koleksi terbaru Amber Oasis Abaya yang berlangsung di Glasshouse, Seputeh, Kuala Lumpur, hari ini.
Amyra turut diumumkan sebagai duta bersama Nora Danish dan Amira Othman.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

