PELAKON, Nora Danish menyangkal khabar angin bahawa dia dan bekas suami, Nedim Nazri akan kembali bernikah.
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 43, memaklumkan salah faham tersebut kemungkinan wujud susulan hubungan baik yang terjalin antara mereka.
“Saya baru dengar cerita ini hari ini. Mungkin keakraban kami yang buatkan orang keliru atau salah faham.
“Dia memang betul-betul ‘soulmate’ saya. Setakat ini, kami memang tak boleh bersama tapi kami saling memahami sesama sendiri,” katanya kepada URTV.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Amber Oasis Abaya di Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur, petang, hari ini.
Pada acara terbabit, Nora turut diumumkan sebagai duta bersama Amyra Rosli dan Amira Othman.

Sementara itu, Nora menegaskan perancangan antara mereka untuk kembali bergelar suami dan isteri bagaimanapun tidak akan pernah berlaku.
Katanya, dia lebih selesa menjalani hubungan baik ini berbanding dalam ikatan perkahwinan.
Malah, persahabatan yang terjalin sejak perceraian itu berlangsung dalam situasi harmoni memandangkan mereka pernah bersama lebih 10 tahun.
“Kami pernah hidup bersama dan memahami sesama sendiri dan itu sahaja, tidak lebih dari itu.
“Untuk dakwaan saya akan rujuk dengan bekas suami,, saya sangkal dakwaan tersebut. Memang tiada langsung ura-ura rujuk, cuma kami selesa dengan keadaan hubungan kami ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Nora tidak menolak kemungkinan akan berkahwin semula, namun menegaskan dia belum bersedia untuk kembali berumah tangga.

“Saya memang dalam fasa untuk mengenali diri dan mendekatkan diri dengan Allah.
“Dalam fasa itu, memang saya banyak mendekati juga golongan ustaz, habib, maulana untuk saya mengisi ruang hati saya yang kosong ini.
“Kalau ada yang mahu mendekati saya untuk berkahwin, memang ada. Cuma saya ada letakkan batasan bahawa saya masih belum bersedia untuk berkahwin.
“Fokus saya sekarang ini adalah untuk mengenali diri saya sahaja.
“Kalau Allah berikan saya jodoh, saya tak mahu terburu-buru dalam mengejar perkahwinan seterusnya hanya kerana saya sunyi,” tegasnya.
Untuk info, Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 42, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

