PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk meluluskan empat projek pembangunan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri semasa hadir di program Kenduri Rakyat bersama warga TLDM Lumut sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar memberitahu empat projek pembangunan itu meliputi kerja naik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi sebanyak 33kV dan penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI).
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga bersetuju untuk menaik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut serta pembinaan Klinik Pakar baharu dan menaiktaraf Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Menurut beliau, kelulusan empat projek pembangunan itu sebagai tanda komitmennya terhadap kesejahteraan anggota TLDM Lumut dalam jangka panjang.
“Sesungguhnya pertemuan dengan keluarga besar TLDM pada hari ini memperkukuh iltizam saya agar kemudahan dan keselesaan yang mereka wajar nikmati dapat diperluas.
Baca artikel lain: PM gesa pemimpin, pegawai tinggi kerajaan turun padang fahami isu rakyat
“Terima kasih warga TLDM Lumut. Negara ini berdiri gagah kerana keringat dan pengorbanan kalian,” katanya dalam hantaran di Facebook itu hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan kehadiran beliau di Pangkalan TLDM Lumut itu telah disambut dengan semangat waja warga pertahanan negara.
Katanya, kehadiran beliau memberi peluang untuk beramah mesra dengan angkatan yang menjadi benteng hadapan samudera negara.
“Ia turut memberi keinsafan kepada saya betapa besarnya pengorbanan mereka demi mempertahan ibunda tercinta.
“Berbekalkan semangat yang madani dan kecintaan kepada negara dan tanah air, saya telah mengumumkan komitmen berterusan kerajaan untuk memartabatkan TLDM sebagai benteng maritim yang unggul.
“Di pentas ini, saya turut menerima laporan daripada pegawai bertanggungjawab berkait projek pembangunan yang majoritinya telah diselesaikan.
“Bagi projek yang sedang dilaksanakan, asya menitipkan harapan agar perkara tersebut disegerakan untuk kebajikan anggota,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

