Indahnya jenazah ini, segala yang hendak dilakukan pasti dimulakan dengan membaca al-Fatihah

Dari Penulis

SAYA melangkah masuk ke dalam sebuah bilik. Sehelai kain batik lepas yang menyelubungi jenazah saya selak. Saya pandang jenazah yang terbaring kaku di hadapan saya itu.

Saya tersenyum. Hati saya jadi tenang apabila melihat muka jenazah wanita tersebut. Air mukanya begitu tenang. Wajahnya berseri-seri. Matanya terpejam rapat seperti sedang tidur dalam keadaan nyenyak. Rambutnya juga tersisir kemas.

 “Izinkan saya uruskan jenazah,” pinta saya pada dua orang anak perempuan Allahyarhamah.

Saya juga meminta mana-mana warisnya membantu saya memandikan jenazah nanti. Itu lebih afdal. Dua orang anaknya tadi mahu membantu saya dan begitu juga seorang rakan mereka.

Selepas mengambil ukuran dan selesai menyediakan kain kapan, jenazah tadi kami angkat untuk dibawa ke bilik air. Semasa mengangkat jenazah tersebut, sekali lagi saya terkejut. Saya terasa jenazah wanita ini luar biasa ringannya.

Kami berempat mengangkat jenazah tersebut dengan sangat mudah. Kalau ikutkan susuk tubuhnya, berat jenazah itu melebihi 80 kilogram. Dengan kudrat perempuan, memang akan terasa berat juga seperti mana jenazah-jenazah yang pernah saya uruskan sebelum ini. Cuma kali ini, lain betul ringannya.

Apa yang saya rasakan itu saya diamkan sahaja. Saya terus mandikan jenazah. Semasa memandikan, saya belek-belek tubuh jenazah tersebut. Sekali lagi saya terasa pelik sehingga saya bertanya kepada si anak adakah jenazah ibunya sudah dimandikan?

“Eh, kami belum mandikan lagi,” jawab anaknya.

Saya tanya begitu sebab setahu saya Allahyarhamah meninggal di hospital. Hampir dua minggu juga dia di sana sebelum menghembuskan nafasnya.

Berdasar pengalaman sebelum ini, kalau jenazah dari hospital, biasanya tubuhnya kurang bersih. Mungkin masih ada plaster untuk tampal jarum, atau kesan darah dan macam-macam lagi.

Tapi berbeza dengan jenazah ini. Keadaannya bersih dan kemas. Tubuh badannya seperti sudah dimandikan.  Malah saya bila tekan perutnya, langsung tiada najis yang keluar dari duburnya. Tubuh badan arwah memang sudah bersih, tak sukar saya hendak menguruskannya.

Apa yang diperlihatkan itu saya diamkan lagi. Saya teruskan dengan tugas saya. Sedang memandikan, sekali lagi saya perasan kelainan.

Berdasarkan pengalaman, apabila seseorang itu meninggal lebih empat jam, keadaan mayatnya akan kaku. Jadi ketika jenazah itu dimandikan, saya harus lakukan regangan untuk melembutkan anggota badan jenazah.

Namun berbeza dengan jenazah wanita ini. Walaupun meninggal lebih dari lima jam, jasadnya masih lembut. Tangannya mudah digerakkan. Anggota badannya langsung tak kaku atau keras.

Lebih mengagumkan, ada ketikanya saya terhidu bau wangi dari jenazah tersebut. Baunya sungguh menenangkan dan buat saya terasa nyaman.

Melihat semua ini, saya sedar itu semua bahagian yang baik untuk Allahyarhamah. Bagi saya, mungkin dia bukan calang-calang orang. Sejak awal lagi Allah sudah muliakan jenazahnya.

Selesai mandi, kami bawa jenazah ke dalam bilik untuk dikapankan. Apabila disarungkan telekung pada Allahyarhamah, anaknya tadi menangis. Saya pun tersentuh.

Bukan apa, kami tengok wajahnya begitu cantik dan berseri-seri. Tenang, bersih dan tersenyum. Wajahnya itu membuatkan orang yang melihatnya terasa seronok. Sukar saya nak jelaskan bagaimana.

“Tahniah. Awak dapat mak macam ni,” bisik saya pada si anak.

Tak sampai dua jam, urusan kafan dan mandikan Allahyarhamah selesai dengan sempurna. Kerja saya memang betul Allah mudahkan.

Selepas selesai tanggungjawab, saya curi-curi berbual dengan anak Allahyarhamah. Niat saya mahu tahu apa amalan ibunya sehingga diperlihatkan sebegini indah.

Sudah ramai jenazah saya uruskan. Tapi inilah pengalaman yang paling indah buat saya. Memandikan jenazah tersebut seolah-olah terasa seperti memandikan bayi. Lebih indah, saya diperlihatkan kemuliaan pada jenazah ini.

“Apa amalan mak masa hidup?” saya bertanya tanpa berselindung lagi.

Si anak mengaku dia pun tak berapa tahu amalan ibunya. Cuma apa yang dia tahu, ibunya tak pernah meninggalkan solat malam. Biarlah demam, atau pening, ibunya akan tetap bangun untuk mengerjakan solat pada waktu malam.

Selain itu, ibunya turut menjadikan al-Quran sebagai peneman. Setiap hari ibunya akan membaca al-Quran. Biarlah sesibuk mana sekalipun, ibunya akan mencari ruang untuk membaca kalam-kalam Allah itu.

“Solat malam dan al-Quran dan sebati dengan mak. Tak pernah saya tengok mak tinggal dari buat semua tu,” beritahu si anak.

Bila saya tanya pada suaminya pula, rupanya ada lagi amalan Allahyarhamah yang mungkin boleh kita contohi. Dedah si suami, segala tindakan atau apa sahaja yang dibuat oleh isterinya akan dimulakan dengan surah Al-Fatihah.

“Tak kiralah nak masak, makan, nak pergi berjalan-jalan, dia akan baca al-Fatihah,” beritahu suami pada saya.

Mendengarnya saya mengangguk dan tersenyum. Saya betul-betul gembira. Selain berpeluang menguruskan jenazah yang dimuliakan Allah, saya juga mendapat ilmu daripada amalan-amalan Allahyarhamah yang saya boleh jadikan amalan termasuk kepada semua pembaca. – Seperti diceritakan oleh Ustazah Maslizawati binti Baharin, kepada wartawan Mastika.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This