RAMAI yang bertanya, selama saya menguruskan jenazah, pernah tak saya mengalami kejadian-kejadian aneh atau pelik? Ada yang tanya lagi, adakah saya mengalami kesukaran ketika menguruskan jenazah tersebut. Mereka memberi contoh seperti jenazah sukar diuruskan, berlaku kejadian aneh pada jenazah atau apa-apa saja.
Bila saya jawab tak ada, dahi mereka berkerut. Mereka macam tak percaya. Maklumlah, sudah berpuluh tahun saya melakukan pekerjaan ini. Sudah beribu jenazah saya uruskan. Mustahil langsung tiada perkara-perkara sebegini.
Saya hanya ketawa. Saya jawab, memang ada. Tapi itu semua bukan masalah bagi saya. Tak kiralah jenazah yang saya uruskan itu sudah berulat, tak cukup sifat, hancur, berbau busuk atau diperlihatkan sesuatu yang aneh, semua itu mudah bagi saya. Tak ada satu pun yang menghalang tugas saya.
Bagaimanapun keadaan jenazah, ia tidak memberi masalah pada saya kerana mereka sudah meninggal. Sebaliknya yang bagi masalah besar ialah orang yang masih hidup. Golongan inilah yang selalu menghalang tugas saya. Orang kita banyak mengikut budaya, tetapi bukan yang ditetapkan agama.

Banyak kali saya jumpa, ahli keluarga suka melambat-lambatkan urusan pengebumian. Ada yang mahu tunggu saudara, anak hingga urusan pengebumian tertangguh lama. Ada yang lamanya menjangkau tiga waktu solat dan pernah juga melebihi 24 jam baru dapat dikebumikan.
Dalam beberapa kes, saya datang ke rumah si mati hendak menguruskan jenazah. Bila sampai, salah seorang warisnya minta tangguh dulu.
“Nak tunggu seorang anak arwah sampai,” beritahu waris tersebut.
Saya diam. Selepas Zuhur, saya datang sekali lagi. Pun sama, waris tak bagi uruskan lagi. Katanya, seorang anak arwah yang tinggal di luar negara belum sampai. Dia suruh saya pulang dulu dan tunggu panggilan darinya.
Lepas 24 jam, sekali lagi saya pergi. Pun sama, jenazah tadi masih terbaring di ruang tamu tak diuruskan. Sebabnya, masih menunggu si anak tadi. Masa tu, saya mula naik angin. Saya panggil waris tadi dan nasihatkan.
“Awak tahu apa hukum awak buat macam ni? Berdosa! Anak-anak lain sudah ada kan? Tinggal seorang saja lagi yang belum balik. Adakah sebab seorang anak tu awak nak tangguh pengebumian jenazah ini?” tanya saya.
Bila tengok saya sudah mula emosi, barulah mereka benarkan saya uruskan jenazah. Saya bukan hendak masuk campur, jauh sekali membelakangkan keluarga tersebut. Tapi saya tak mahu tanggung dosa bersubahat. Ini kerana saya sudah diamanahkan menguruskan jenazah tersebut.
Sepatutnya kita kena segerakan urusan pengebumian. Tak perlu tunggu waris lain. Cukuplah ada seorang waris yang berhak, seperti suami, isteri atau anak, sudah boleh dikebumikan.
Selain itu ada juga perangai orang yang hidup ini menyusahkan si mati. Pernah bila jenazah sudah siap dikapankan, ada pula tukang karut muncul.
“Okey, siapa-siapa nak cium jenazah mari sini,” kata tukang karut tersebut.
Padahal sebelum itu jenazah sudah terbiar empat, lima jam. Tak ada siapa pula hendak cium. Bila kita hendak uruskan jenazah, barulah kelam kabut mahu cium.
Bila lihat perkara ini saya selalu tertanya-tanya. Kalau tak cium, adakah tidak sah? Apa yang tak kena kalau tak cium? Kalau betul nak cium, ciumlah puas-puas semasa hidup. Saya tengok perkara ini sudah jadi adat tradisi.
Risau Mayat HIV Berjangkit
SELAIN itu, orang kita juga sangat risau dengan mayat pesakit HIV. Bila tahu si mati ada HIV, mereka jadi tak selesa. Mereka halang jenazah dimandikan di rumah arwah. Mereka takut sebab dimomokkan dengan cerita tak betul.
Saya pernah mandikan mayat HIV di sebuah taman perumahan. Air mandi mayat mengalir masuk ke dalam longkang. Lepas itu, datanglah jiran arwah tadi menegur saya.
Dia tak bagi saya mandikan mayat di rumah. Disuruhnya bawa ke masjid. Katanya, air mandikan mayat akan masuk dalam longkang. Nanti boleh berjangkit pada orang lain.
“Tak boleh buat macam ni, nanti berjangkit!” tegur jiran itu pada saya. Nadanya macam tak puas hati.
Saya geleng kepala. Nampaknya orang kita masih tak faham. Kalau betul berjangkit, sudah lama isteri dan anak-anak arwah yang tinggal serumah berjangkit dengan virus tersebut. Tapi sampai arwah pergi, mereka semua sihat, tidak dijangkiti penyakit yang sama.
Bukan hanya orang-orang biasa yang tersilap dengan perkara ini. Pak Imam pun sama juga. Bila dengar si mati menghidap HIV, semua menolak untuk menguruskan jenazah tersebut. Katanya, takut berjangkit.
Kita kena faham, virus HIV hanya berjangkit melalui hubungan kelamin, bertukar jarum suntikan atau bertukar darah. Kalau setakat bersalam, berpelukan, berkongsi bekas makanan, tempat tidur, batuk, atau peluh, virus ini tak akan berjangkit. Saya sendiri sudah menguruskan beratus jenazah HIV. Alhamdulillah sampai sekarang sihat.

Selain kejadian begitu, ada lagi karenah manusia hidup sehingga melambatkan urusan pengebumian jenazah. Selalu sangat saya jumpa isteri atau suami arwah bergaduh dengan mertua mereka.
Jenazah belum pun dikebumikan, mereka sudah berperang mulut. Puncanya kecil sahaja – bertengkar memilih tempat hendak tanam jenazah. Yang si isteri mahu jenazah suaminya ditanam dekat perkuburan rumah mereka. Yang mertua pula berkeras hendak bawa pulang ke kampung.
Bila masing-masing ada ego dan tak mahu mengalah, mereka mula bertelagah sehingga urusan pengebumian tertangguh. Ada kalanya sampai berjam-jam sedangkan jenazah sudah siap, menunggu masa hendak dikebumikan saja.
Bila lihat perkara begini, saya pula jadi marah. Bukan apa, saya kasihan dengan jenazah tersebut. Masyarakat kena faham, apabila berkahwin seseorang itu dan bila dia mati, suami lebih berhak pada jenazah isterinya dan begitulah juga sebaliknya.
Kadang- kadang saya tengok, orang kita ni berlakon lebih. Semasa kita sibuk mandi atau kapankan jenazah ahli keluarganya, dia sibuk menangis di sebelah. Ada sesetengah tu, meraung-raung sampai kita rasa terganggu.
Kalau orang tengok, fikir dia betul-betul sedih. Memang sayang sangat dengan si arwah. Tapi pada saya pula, semua itu hanya lakonan. Sebabnya saya sudah tengok banyak ‘wayang’ macam ni. Bila jenazah selamat dikebumikan dan ditalkinkan, semua tetamu pun pulang.
Ketika itu, saya tengok ahli keluarga yang sebelum itu beria-ia menangis dan meraung itu turut pulang bersama. Saya yang tengok geleng kepala. Kalau betul sayang, apa salahnya tunggu di kubur dulu. Duduk baca Yasin, sedekahkan doa. Ini tidak. Bila pak imam balik, dia pun balik sama.
Nasihat saya pada orang hidup, sepatutnya apabila meninggal seseorang itu, kita perlu menyegerakan pengebumiannya. Cepatkan seberapa yang boleh sesuai dengan hadis Nabi yang berbunyi begini…
Abu Hurairah r.a: diriwayatkan daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda bermaksud, “Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu).” – (Hadis riwayat Muslim)
Segerakan jenazah itu satu tuntutan Islam. Kalau nak tangguh pun mesti ada alasan munasabah atau kukuh seperti post mortem atau sebagainya. Malah kalau kita tangguh saja-saja itu merupakan satu penyeksaan kepada roh dan jasad kerana ia telah terpisah. Kedua-duanya tiada lagi tugas di atas dunia ini. Jasad akan kembali ke tanah manakala roh akan menghadap Allah di alam yang telah ditetapkan.

NOTA : Kisah di atas adalah berdasarkan pengalaman Hj Mohd Amin, seorang pengurus jenazah yang pernah kami temu bual beberapa tahun yang lalu.
____
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

