SYARIKAT automotif tempatan GGR Motor yang sebelum ini mengambil inspirasi nama filem popular “Gila-Gila Remaja” kini melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan inisiatif “Go Green Revolution” menerusi pelancaran motosikal elektrik (EV) terkini.
Majlis pelancaran itu turut diraikan bersama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd selaku sebagai rakan strategik dan pengedar sah utama motosikal EV.
Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dan akan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai sokongan terhadap perkembangan teknologi hijau dan inovasi anak tempatan yang merupakan graduan lepasan TVET MARA, IKM Beseri, UNIKL MFI (Automotif).

Turut serta dalam program selama sehari ini nanti ialah barisan artis popular tanah air.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini adalah langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat, dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda.

“Acara akan bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media.
“Aktiviti malam pula dimeriahkan dengan persembahan komuniti, “test ride”, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama pencinta EV.
“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,” katanya kepada URTV.
Tambahnya lagi, kehadiran artis yang dikenalinya secara peribadi seperti Johan, Cat Farish, Ajak Shiro dan Nabil Ahmad untuk terbabit dalam program ini atas pelbagai faktor.

“Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi sahabat lama yang saya percaya mampu membawa nilai positif kepada jenama,” ulasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Johan, yang juga dikenali menerusi jenama makanan Itik ke Ayam? bakal menjadi antara rakan kolaborasi utama dalam usaha membuka cawangan kedai bersama artis terpilih selepas pelancaran kelak.
Menurutnya, langkah ini diharap dapat menjadi batu loncatan ke arah perkembangan jenama secara lebih meluas di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan dan sokongan terhadap inisiatif hijau ini, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah pada konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025), yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.

“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” ulasnya.
Muhammad Mussadiq berkata, antara selebriti yang akan hadir dalam majlis pelancaran ini termasuk Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish.
Untuk rekod, dua tahun lalu, Bella turut menerima hadiah skuter elektrik daripada GGR Motor dalam kerjasama bersama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).
Strategi ini menjadi apabila nama GGR Motor menjadi viral memandangkan Bella hangat dengan konflik rumah tangga ketika itu.
“Ini bukan hanya tentang produk, tetapi tentang membawa perubahan budaya. Kita mahu generasi akan datang melihat mobiliti hijau sebagai gaya hidup harian,” tambah Mussadiq.
Untuk kemuncak acara pelancaran rasmi motosikal, Muhammad Mussadiq berkata, GGR Motor telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan motosikal elektrik (EV) keluaran mereka.
Sementara itu, Johan Raja Lawak berkata, dia mula berkawan dengan Muhammad Mussadiq sejak 2017 dan sering bertukar pandangan.
“Banyak kolaborasi-kolaborasi sebelum ini saya buat dengan dia dan dia antara-antara yang selalu bagi peluang untuk saya. Itu sebab saya hadir ke majlis sidang media ini,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

