Bella Astillah, Syed Saddiq dah bertunang! Hantaran ‘masa depan’ jadi perhatian

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI dan pelakon Bella Astillah, 32, sah mengikat tali pertunangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34. 

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh tertib dan harmoni itu diadakan di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota pada petang Sabtu.

Dihadiri kira-kira 150 tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, majlis tersebut menjadi saksi penyatuan dua figura yang mempunyai pengaruh besar dalam bidang masing-masing. 

Namun, apa yang benar-benar mencuri tumpuan dan menjadi bualan tetamu yang hadir adalah keunikan hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki.

Berbeza dengan kebiasaan majlis pertunangan selebriti yang sering mempamerkan barangan mewah berjenama, Syed Saddiq memilih pendekatan yang lebih bermakna dan berwawasan. 

Selain sebentuk cincin sebagai simbol ikatan, beliau menyerahkan lima dulang hantaran yang antara lain mengandungi pembukaan akaun Tabung Haji buat Bella serta dua akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) khusus buat dua cahaya mata Bella, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.

Pemberian ini dilihat sebagai satu mesej jelas tentang kesungguhan Syed Saddiq untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pasangan, malah sebagai pelindung masa depan keluarga kecil Bella.

Sebagai balasan, pihak Bella menyerahkan tujuh dulang hantaran yang memaparkan sisi peribadi pasangan ini, termasuk set minyak wangi dan uniknya, makanan kucing, merujuk kepada hobi dan minat mereka.

Pasangan itu menyarung busana rona sage green bagi menyerikan lagi tema acara penuh intimasi itu. 

Sebelum acara kemuncak bermula, Syed Saddiq yang diwakili oleh bapanya, Syed Abdul Rahman memberikan ucapan ingin menyunting Bella sebagai suri hati anak lelakinya.

​”Saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada keluarga Awang Astillah atas jemputan dan sambutan. Bak kata orang datang, kami disambut dengan senyuman, duduk kami dijamu dengan kemanisan.

​”Sebenarnya kedatangan rombongan kami ke majlis hari ini bukanlah setakat makan-makan, temu-temu. Kami datang membawa satu hajat yang cukup besar dan serius di hati,” katanya memulakan bicara. 

Menurutnya yang dipanggil Abuya, sebagai ayah dan wakil keluarga, datang dengan rendah diri untuk bertanya khabar secara rasmi di depan semua saksi yang ada di situ. 

​”Hajat kami memang satu sahaja: Kami nak melamar anak sulung Tuan Awang iaitu Bella Astillah untuk dijadikan tunang kepada anakanda saya, Syed Saddiq. 

“Kami datang membawa sedikit tanda sebagai janji yang kami memang serius dengan niat ini. Kami harap sangat pihak keluarga Bella dapat terima niat baik kami ini dengan tangan terbuka.

“​(Sambil berseloroh) “Panjang eh? Tapi jawapan ringkasnya tak apa.”

​Kami harap dengan ikatan pertunangan ini, ia jadi langkah pertama untuk kedua-dua keluarga kita saling mengenali dan berkasih sayang sebelum mereka melangkah ke fasa yang selanjutnya untuk membina masjid mereka,” ujarnya.

Hajat mereka kemudian, disambut baik oleh bapa Bella iaitu Awang Astillah.

​”Mendengar hajat yang disampaikan tadi, saya pun tidak akan mengambil masa yang lama untuk bercakap panjang. Kalau dah itu hajatnya, kami dengan rasa penuh kesyukuran, rendah diri, menerima hajat tersebut dengan hati yang terbuka.

​”Apa yang penting bagi kami, niat baik ini menjadi titik permulaan untuk keluarga kedua-dua belah pihak menjadi lebih rapat dan saling mengenali. 

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar perjalanan mereka berdua ini sentiasa diberkati dan segala urusan selepas ini akan dipermudahkan sehinggalah ke hari yang lebih istimewa nanti. Amin ya Rabbal Alamin. Terima kasih,” katanya. 

Mengimbas kembali detik awal bibit cinta mereka, segalanya bermula menerusi kerjasama profesional dalam sebuah kempen jenama pada akhir tahun 2024. 

Kemesraan mereka semakin dihidu peminat apabila tular foto mereka mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, pada Januari 2025 dengan mengenakan busana tradisional Melayu.

Syed Saddiq yang sebelum ini pernah menggelarkan Bella sebagai ‘iron lady’ menyifatkan pertunangan ini sebagai satu fasa yang sangat disyukurinya.

“Bagi saya, Bella adalah definisi wanita kental yang memiliki keperibadian sangat ikhlas dan penyayang. 

“Keputusan untuk melangkah ke fasa pertunangan ini adalah satu komitmen yang saya ambil dengan penuh rasa tanggungjawab. 

Saya bukan sahaja ingin membina masa depan bersama Bella, tetapi juga ingin memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anaknya terjamin,” ujar Syed Saddiq.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan industri yang sentiasa memberi sokongan moral buat Bella sepanjang mengharungi fasa sukar dalam hidupnya sebelum ini. 

Antara yang kelihatan termasuklah Nur Fazura, Que Haidar, Nora Danish, Datuk A. Aida, Nabil Ahmad, Ben Ali dan Ellie Suriaty.

Bagi Bella, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, ini adalah satu permulaan baharu selepas melalui fasa penceraian yang mencabar pada Jun 2024. 

Untuk rekod, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 sebelum bercerai pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This