GULA bertapis atau lazimnya dikenali sebagai gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa 1 Julai depan.
Ia susulan kenyataan pengeluar gula putih nasional, MSM Malaysia Holdings Berhad yang sedang meneliti semula peluasan lima peratus SST melibatkan gula mentah.
Menurut Kementerian Kewangan, gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.
Bagaimanapun, katanya, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan input mereka.
“Kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras.
“Ini bertujuan untuk memastikan rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan semakan semula SST,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Perluas skop SST untuk wujudkan sistem cukai lebih adil – MOF
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan menegaskan, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis atau gula putih itu.
Katanya, ia lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.
“Penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Malaysia.
“Pengecualian ini diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai),” katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Muhammad dilaporkan berkata, penjelasan lanjut juga dituntut daripada kerajaan untuk memantau kesan kepada harga barang terkawal.
“Harga runcit gula di Malaysia dihadkan pada RM2.85 sekilogram sejak 2011, meskipun harga gula mentah global meningkat sejak tahun kebelakangan ini.
“Jika cukai itu dikenakan kepada gula mentah, pengeluar gula bertapis negara boleh melepaskan kos berkenaan kepada industri.
“Namun kami tidak boleh berbuat demikian bagi gula kerana ia berada di bawah harga kawalan. Justeru, penjelasan lanjut diperlukan dan kami sedang berhubung rapat dengan kerajaan,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

