Jalan-jalan cari makan di Sabah, rugi kalau korang tak cuba 6 hidangan tempatan ni

Dari Penulis

Tak lengkap cuti-cuti Sabah sekiranya tak mencuba hidangan tempatan yang unik. Selain meneroka keindahan alam semulajadi Borneo, Sabah juga terkenal sebagai syurga makanan laut yang segar, lazat dan murah.

Luaskan lagi pengalaman gastronomi dengan pelbagai pilihan makanan yang cukup menyelerakan dan popular dalam kalangan masyarakat setempat.

Mi Ngiu Chap (Mi sup daging)

Sabah cukup popular dengan Mi Ngiu Chap iaitu hidangan mi sup daging lembu yang kaya dengan rasa. Hidangan ini menggabungkan bebola daging, hirisan pelbagai bahagian lembu, termasuk organ dalaman, dalam kuah berempah yang dimasak perlahan selama beberapa jam. 

Keenakannya jelas terasa dengan daging yang empuk dan beraroma dan dinikmati bersama cili padi kegemaran orang Sabah.

Hidangan ini terkenal dan mudah didapati di kawasan Pantai Barat.

Mi Sup Ikan

Bagi penduduk tempatan Sabah, menikmati semangkuk mi ikan segar yang panas adalah satu pengalaman yang menyenangkan. Sama ada anda menggemari versi kon lau (mi kering disalut kicap) atau dihidangkan dengan sup yang menyelerakan, mi ikan versi Sabah sememangnya istimewa.

Kedudukan negeri ini yang dikelilingi kawasan laut memastikan ikan yang digunakan sangat segar, sedap dan lembut. Terdapat juga pelbagai pilihan kuah sup yang lazat seperti ham choi (sawi masin), tomato, asam pedas dan tomyam laksa.

Kepak Ayam Panggang

Hidangan kepak ayam panggang ini sangat sinonim dengan masyarakat Sabah. Kepak ayam panggang diperap dengan ramuan istimewa mengikut citarasa Sabahan, disalut sekata dan dibakar hingga sempurna untuk mendapatkan rasa salai yang memikat.

Pekan Kundasang merupakan lokasi terbaik untuk menikmati Kepak Ayam Panggang, lebih-lebih lagi yang baru dibakar pada ketinggian 1,900 meter dari aras laut sambil ditiup udara gunung yang sejuk. Nikmatnya!

Jika anda berkunjung ke Kundasang, singgahlah ke gerai seperti Ayam Madu Wak Ali, Grill Chicken Wing Kundasang Café dan Girik BBQ di Restoran Selera Kebun Soboroong.

Jagung Bakar

Jagung yang dibakar di atas kayu api dengan aroma yang cukup memikat antara hasil tani Sabah yang cukup popular. Anda boleh memilih antara jagung manis atau jagung pulut untuk dibawa pulang.

Jika anda melawat kawasan utara Sabah, seperti Kudat, Pitas dan Kota Marudu, jangan lupa singgah di gerai tepi jalan Kampung Mengaris yang terletak sepanjang laluan Kota Belud – Kudat. Lokasi ini cukup terkenal sebagai tempat persinggahan untuk membeli hasil tani dan kraftangan tempatan.

Lokan Bakar & Puding Kelapa

Terletak di Jalan Sulaman, atau dikenali sebagai Salut, Tuaran, kawasan ini popular sebagai tempat persinggahan untuk menikmati lokan bakar dan puding kelapa.

Lokan yang dituai dari kawasan paya bakau berhampiran dibakar di atas arang, cukup sempurna dihidangkan bersama perahan limau dan pencicah cili.

Kemudian sejukkan tekak dengan puding kepala yang diperbuat daripada susu dan air kelapa segar dan dihidangkan dalam tempurung kelapa. Cukup nyaman.

Jangan lupa nikmati kelapa bakar untuk pengalaman air kelapa suam beraroma.

Nasi Kuning

Nasi kuning biasanya di makan semasa sarapan pagi atau tengahari. Hidangan yang dibungkus dengan daun pisang dan menyelerakan dengan campuran kunyit ini enak dinikmati ayam goreng atau ikan tongkol, telur rebus dan sambal pedas.

Cukup popular di Pantai timur Sabah dan antara tempat yang disyorkan termasuklah Restoran Haji Tamrin (Tawau), Restoran Sri Rimbawan (Sandakan) dan Mee Tauhu Corner di Kota Kinabalu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kesedaran Medikolegal, Kunci Utama Lindungi Pengamal Perubatan dan Pesakit

SENARIO perubatan di Malaysia kini menyaksikan anjakan paradigma apabila para doktor dan petugas kesihatan berdepan dengan risiko undang-undang yang...

More Articles Like This