Tapak pelupusan sisa pepejal Beris Lalang kini bernafas baharu apabila Projek Landfill Mining, satu inisiatif pengurusan sisa mampan mula beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu.
Projek ini diterajui oleh Dwitekno Sdn Bhd dengan kerjasama Pengurusan Sisa Pepejal Mubarakan Sdn Bhd (PSPM), dan disifatkan sebagai pendekatan baharu dalam menangani sisa pepejal yang sebelum ini hanya dilupus secara konvensional.
Pengarah Urusan Dwitekno, Mohd Fadzil Zamrod berkata, projek ini bukan sahaja melibatkan pelupusan, namun ia mengaktifkan semula sisa lama yang tertanam dengan mengekstrak semula bahan bernilai seperti plastik, logam dan bahan organik untuk diproses semula.
“Kami fokus kepada pemulihan empat komponen utama iaitu bahan organik untuk dijadikan kompos, plastik lembut dan keras yang masih bernilai, serta logam untuk dikitar semula. Ia menjadikan proses ini bukan sekadar pelupusan, tetapi satu penjanaan sumber baharu.
“Antara teknologi utama yang digunakan ialah bio-drying, iaitu kaedah rawatan bahan organik melalui pengudaraan semula jadi dan tindak balas mikroorganisma yang meningkatkan suhu dan mempercepatkan proses pengeringan.
“Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah mampu menghasilkan kompos berkualiti tinggi yang mesra alam,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Projek Landfill Mining di Tapak Pelupusan Beris Lalang.

Mohd Fadzil berkata, dalam tempoh empat tahun akan datang, kapasiti pemprosesan sisa harian dijangka meningkat daripada 50 tan kepada 500 tan sehari. Sekitar 30 peratus sisa akan dijadikan baja organik, manakala 20 peratus lagi terdiri daripada plastik dan logam yang akan dikitar semula atau digunakan semula sebagai bahan api industri melalui teknologi pirolisis.
“Tapak ini sudah lama beroperasi, dengan lapisan sisa setinggi 30 meter yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk diproses semula. Kini kita melihat peluang untuk memanjangkan hayat tapak dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” tambahnya lagi.
Fadzil turut menekankan peranan projek ini dalam menyumbang kepada prinsip ekonomi kitaran di mana sisa tidak lagi dianggap beban, sebaliknya sumber baharu yang boleh menyumbang semula kepada ekonomi.
“Kompos organik yang dihasilkan pula kini sudah mula digunakan oleh petani tempatan, dan sasaran seterusnya ialah penggunaannya secara lebih meluas di ladang komersial dan kebun kecil seluruh negara,” katanya.
Dalam majlis perasmian projek yang berlangsung di tapak pelupusan tersebut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata pihak kerajaan menyokong penuh inisiatif ini dan bercadang untuk memperluaskan projek seumpama ini ke tapak-tapak lain.
“Selepas kejayaan di Beris Lalang, kita cadangkan tapak di Tumpat, Kok Bedollah sebagai lokasi seterusnya. Kawasan itu seluas lebih 90 ekar dan berpotensi besar untuk dilaksanakan teknologi ini,” katanya.
Dwitekno turut menyatakan kesediaan untuk mengembangkan projek ini ke peringkat nasional, dengan menjadikan Beris Lalang sebagai model rujukan dan bukti kejayaan pengurusan sisa yang lestari dan menjimatkan ruang tanah pelupusan.

