KEDUTAAN Malaysia di Iran diarah supaya menutup operasi buat sementara waktu susulan ketegangan semakin memuncak akibat konflik Iran-Israel ketika ini.
Memetik laporan BH Online, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, semua warga Kedutaan Malaysia di Iran juga telah diarahkan untuk pulang segera ke tanah air.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan bahawa banyak kedutaan negara-negara lain telah berbuat demikian.
“Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta… semua rakyat Malaysia telah diminta keluar dari Iran.
“Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, awal pagi ini.
Ia termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, dalam apa yang digambarkan sebagai ‘serangan pembukaan yang berjaya’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Serangan itu adalah tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel, beberapa jam sebelumnya.
Baca artikel lain: Ketegangan Israel-Iran, kerajaan jamin harga RON95 tidak naik – PM
Media turut melaporkan Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara itu, termasuk rangkaian perbankan, berjaya digagalkan sejak tercetus konflik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Agensi Berita Mehr, semalam
Dalam satu kenyataan, Komando itu memaklumkan bahawa antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan ‘distributed denial-of-service’ (DDoS) berskala besar, mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data, serta mengakibatkan kerosakan sebahagian ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkait dengan operasi ketenteraan.
Pada Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan, seawal Jumaat.
Beliau berkata, Menteri Luar memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di Iran akibat ketegangan Iran-Israel, dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.
Mohamad juga dipetik berkata, kementeriannya sudah menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

