MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan pakar psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membangunkan modul khusus untuk menangani isu buli mental dalam kalangan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap kesan serius buli mental yang disifatkannya lebih dahsyat berbanding buli fizikal.
Beliau berkata, MARA turut merancang memanfaatkan khidmat warden dalam kalangan bekas anggota tentera yang bakal bertugas sepenuh masa bagi memperkukuh pemantauan serta kebajikan pelajar di institusi berkenaan.
Menurutnya, buli mental bukan isu kecil kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti ejekan, hinaan, gelaran memalukan, sindiran berulang, pemulauan, penyebaran fitnah, ugutan emosi serta tindakan memalukan seseorang di hadapan rakan-rakan.
“Walaupun tidak meninggalkan kecederaan fizikal, kesan terhadap emosi, maruah dan keyakinan diri mangsa boleh menjadi sangat mendalam.
“Justeru, usaha menangani gejala ini perlu diberi perhatian serius agar kesejahteraan mental pelajar sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.
MRSM perlu jadi tempat paling selamat
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sejak diberikan amanah menerajui MARA, antara keutamaan beliau adalah memastikan MRSM dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu, membina sahsiah serta merancang masa depan.
Katanya, institusi pendidikan tidak seharusnya menjadi tempat yang menyebabkan pelajar hidup dalam ketakutan, tekanan atau berasa terasing daripada rakan-rakan.
Beliau menegaskan, pendekatan tegas menerusi dasar #YouTouchYouGo akan terus dilaksanakan, termasuk tindakan menyingkirkan pelajar yang terbabit dalam kes buli.
Pada masa sama, katanya, MARA tidak hanya bergantung kepada tindakan disiplin semata-mata, sebaliknya turut melaksanakan pelbagai pendekatan pencegahan bagi membendung budaya buli daripada terus berakar dalam kalangan pelajar.
“Bagi saya, apa jua bentuk buli sama ada fizikal atau mental mesti dihentikan dengan tegas.
“Semua warga institusi pendidikan perlu memainkan peranan untuk membina budaya hormat-menghormati, kasih sayang dan empati antara satu sama lain,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

