Keusahawanan jadi tumpuan forum antarabangsa di City University Malaysia

Dari Penulis

Keusahawanan sebagai pemacu ekonomi masa hadapan menjadi tumpuan dalam sebuah forum antarabangsa  yang menarik lebih 450 hadirin ke kampus baharu City University Malaysia, Cyberjaya.

Forum berprestij yang bertemakan “Membina Startup Mampan dalam Ekonomi Sedang Membangun” itu menjadi medan pertemuan tiga tokoh terkemuka dalam bidang keusahawanan dan perundangan antarabangsa, Profesor Boualem Aliouat, Canselor IUT Nice Côte d’Azur dari Perancis, Prof. Adjung Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia dan Pierre Brochet, peguam korporat berpengalaman dari London dan New York yang kini menetap di Malaysia.

Naib Canselor City University Malaysia, Profesor Dr. Rosnizah Shaari berkata, penganjuran sesi ini selari dengan komitmen universiti dalam memperkasakan pelajar dengan pengetahuan dunia sebenar melalui interaksi langsung bersama pemimpin pemikiran global.

“Forum ini bukan sahaja membuka ruang wacana bernas dalam bidang keusahawanan, tetapi turut memperkukuh jaringan akademik-industri antarabangsa yang memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan pelajar dan fakulti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang kini berada di kedudukan keenam universiti swasta terbaik di ASEAN menurut penarafan AppliedHE, pihaknya beriltizam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Naib Canselor Profesor Dr. Rosnizah Shaari (paling kiri), Profesor Boualem Aliouat, Pierre Brochet, dan Prof. Adjung Rizal Nainy bergambar selepas menandatangani plak peringatan sempena lawatan rasmi mereka ke City University Malaysia.

Prof. Adjung Rizal Nainy menekankan bahawa kekuatan pelan perniagaan merupakan aspek paling utama dalam menarik perhatian pelabur. Menurutnya, selain semangat dan ketekunan, usahawan perlu menyokong idea mereka dengan analisis data dan strategi yang mantap.

“Pelan anda mesti kukuh dan realistik. Keusahawanan menuntut semangat yang tinggi, ketahanan mental, serta kecekapan dalam membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat. Inilah X-factor yang membezakan mereka yang berjaya dengan yang hanya berangan,” katanya.

Sementara itu, Pierre Brochet mengingatkan bahawa dalam era startup disruptif hari ini, usahawan bukan sahaja perlu memikirkan keuntungan, malah harus melibatkan komuniti dan kerajaan dalam setiap langkah perniagaan mereka.

“Sebarang inovasi yang mengubah landskap pasaran akan turut memberi kesan kepada masyarakat. Oleh itu, melibatkan suara rakyat serta memahami kerangka perundangan adalah penting untuk memastikan kelestarian jangka panjang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Profesor Boualem Aliouat menegaskan bahawa modal bukanlah penentu kejayaan sesebuah startup. Sebaliknya, beliau menekankan kepentingan membina pasukan yang mantap dan mempercayai keupayaan diri.

“Wang bukan segala-galanya. Apa yang lebih penting adalah pasukan yang anda bina. Jika anda tidak percaya pada diri sendiri, siapa lagi yang akan percaya? Keyakinan diri adalah penentu kepada jatuh bangun seorang usahawan,” katanya.

Dengan jaringan kukuh bersama pihak industri, serta penganjuran program seperti Siri Penceramah Terkemuka ini, City University Malaysia membuktikan bahawa pendidikan tinggi yang berkualiti bukan sekadar di bilik kuliah, tetapi turut merangkumi pendedahan dunia sebenar yang membentuk pemimpin masa depan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This