[V] “Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi…,” – Emosi tak stabil ketika berpantang, Shila Amzah luahkan menerusi Pernah Punya Aku

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI Shila Amzah kembali dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku, sebuah karya peribadi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh dirinya sendiri.

Lagu ini juga menandakan fasa kematangan Shila selepas 25 tahun bergelar anak seni. Pernah Punya Aku adalah buah tangan selepas berehat panjang daripada berkarya dan hadir dengan penuh emosi serta kejujuran.

Mengimbau proses penulisannya, Shila menjelaskan lagu ini tercipta dalam tempoh hanya dua hari ketika dia masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak kedua.

“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang saya rasa melalui lagu.

“Dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” katanya.

Lagu ini dirakamkan dalam suasana yang sangat positif dan efisien dengan Genervie Kam bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik. 

Genervie yang juga merupakan pengarah muzik wanita yang cukup disegani di Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja untuk disiapkan.

“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Dia memahami saya sebagai seorang artis dan wanita. Proses rakaman sangat lancar dan berkesan,” kongsi Shila.

Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan, dia tetap menyuntik unsur harapan serta kekuatan agar ia mampu menjadi ruang pemulihan buat para pendengar.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar.

“Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.

Berkaitan rapat dengan mesej dalam lagu ini, Shila memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut terlebih dahulu kepada ibunya.

“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu.

“Alhamdulillah, menurutnya, lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah dia alami,” ujarnya.

Pernah Punya Aku merupakan single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang akan di keluarkan hujung tahun ini.

Ia menjadi satu cara bagi Shila untuk melepaskan kisah yang terpendam dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, wanita dan anak seni.

Kredibiliti Shila sebagai seorang komposer terus diiktiraf apabila dia dipilih menjadi salah seorang komposer sebaris Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok dalam program realiti nyanyian digital terbaharu, Raise The Star Malaysia yang kini bersiaran di Astro Ria.  

Pernah Punya Aku terbitan Nova Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This