PENTAS berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) malam tadi tidak hanya menjadi saksi kepada kehebatan vokal bertaraf dunia milik Shila Amzah, malah bertukar menjadi ruang paling intim yang mendedahkan sisi keibuan penyanyi itu.
Konsert solo yang diberi judul Resonance: Shila Amzah in Harmony – 25 Years of Music and Memories itu berubah menjadi medan luahan kasih sayang yang cukup menyentuh hati buat dua permata hatinya, Seth Uwais dan Rhea Akira.
Suasana dalam dewan yang awalnya bingit dengan sorakan peminat tiba-tiba bertukar syahdu apabila anak sulungnya, Seth, dilihat berdiri dengan penuh bangga sambil menjulang papan tanda bertulis “I Love You Mama”.
Tindakan spontan itu ternyata meruntuhkan benteng emosi Shila yang sedang beraksi di tengah pentas, sekali gus mencuri perhatian ribuan penonton yang hadir.
Sambil menahan sebak yang jelas kedengaran pada nada suaranya, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 34, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga.
Baginya, pemahaman anak-anak terhadap kerjaya seninya yang menuntut waktu dan komitmen tinggi adalah hadiah paling besar sepanjang 25 tahun penglibatannya dalam industri.
Dalam momen yang cukup menyayat hati itu, Shila sempat mendedikasikan kata-kata penghargaan yang menggambarkan betapa pentingnya sokongan moral daripada anak-anaknya.
“Terima kasih kerana tidak pernah menghalang ibu untuk terus terbang lebih tinggi dalam mengejar impian dan kerjaya ini.
“Saya sangat mencintai kamu berdua dengan sepenuh jiwa saya. I love you, Seth, Leia!” luahnya sambil disambut dengan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan daripada penonton.
Momen penuh emosi itu tercetus sejurus selepas Shila membawakan bait-bait lagu iklan ‘Ibu-Ibu’ daripada jenama susu Fernleaf, sebuah melodi yang bukan sahaja ikonik, tetapi mempunyai nilai sejarah yang sangat besar dalam membina kerjayanya seawal usia kanak-kanak.
Mengimbas kembali memori awal penglibatannya, Shila mendedahkan ibunya merupakan individu pertama yang menyedari potensi besar dalam dirinya.
Menariknya, bakat itu tidak dikesan melalui pertandingan besar, sebaliknya hanya melalui hobi Shila yang gemar meniru lagu-lagu iklan di televisyen sewaktu kecil.
Menurut Shila, tanpa pemerhatian tajam daripada seorang ibu, mungkin dunia tidak akan mengenali bakatnya sehebat hari ini.
“Ibu saya adalah insan yang mula-mula menyedari kegemaran saya menyanyikan lagu-lagu iklan.
“Memandangkan dahulu tiada platform media sosial, setiap kali kami sekeluarga menonton televisyen, itulah ruang untuk ibu melihat dan menyedari bahawa saya sebenarnya mempunyai kebolehan vokal yang boleh diasah,” kongsi Shila dengan penuh nostalgia.
Apa yang lebih menarik, Shila sempat berseloroh, sejarah kini seakan berulang apabila anak-anaknya juga menunjukkan minat yang serupa.
Seth dan Leia kini sering mengikut jejak langkahnya dengan menyanyikan lagu-lagu iklan, seolah-olah memberi petanda obor seni itu bakal diteruskan oleh generasi seterusnya.
Konsert Resonance itu tidak hanya dirayakan sebagai sambutan jubli perak penglibatan Shila dalam industri muzik, tetapi turut diangkat sebagai sebuah naskhah penghargaan khas sempena sambutan Hari Ibu.
Pihak penganjur dengan kerjasama Fernleaf memberikan kejutan manis dengan mengedarkan bunga carnation kepada semua wanita bergelar ibu yang hadir pada malam tersebut.
Langkah berkenaan merupakan simbolik kepada penghargaan terhadap pengorbanan yang tidak ternilai daripada golongan ibu, sekali gus menjadikan konsert tersebut sebuah memori yang tidak akan dilupakan.
Secara keseluruhannya, persembahan malam tadi membuktikan bahawa selepas 25 tahun, Shila bukan sahaja seorang penghibur yang matang, tetapi juga seorang ibu yang meletakkan keluarga sebagai paksi kekuatannya.
Ia merupakan sebuah naskhah memori yang indah, menggabungkan kualiti muzik kelas pertama dengan elemen kemanusiaan yang sangat dekat di hati setiap peminatnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

