Ding Wuling adalah sebuah desa kecil dalam wilayah Fujian di China. Kampung ini berada pada ketinggian 700 meter dari paras laut, dikelilingi bukit bukau dan pemandangan serba hijau yang terbit daripada keindahan alam semulajadi.
Namun, desa yang dihuni oleh kaum Hakka ini mula menjadi tumpuan pada tahun 2016 apabila akhbar People Daily China melaporkan suatu fenomena misteri di kampung tersebut.
Menurut laporan media di sana, kampung ini sudah hampir 100 tahun tidak pernah didatangi nyamuk. Ya, nyamuk! Makluk kecik si penghisap darah itu.

Jika diikutkan logik akal, kawasan kampung ini yang beriklim lembap ditambah pula padat dengan tumbuh-tumbuhan, adahal mustahil tidak ada walau seekor nyamuk, bukan?
Namun itu yang didakwa oleh penduduk di kampung ini. Menurut mereka, nyamuk tidak pernah kelihatan di kampung mereka sejak hampir seabad yang lalu.
Ketika di tempat lain orang bergelut dengan kehadiran nyamuk, terpaksa menggunakan pelbagai alat dan ubat semburan untuk menghalau makhluk kecil itu, tetapi di kampung ini, penduduknya langsung tidak ada masalah dengan nyamuk.

Menurut penduduk, mereka tidak perlu menggunakan ubat nyamuk atau memasang kelambu untuk tidur. Bahkan, ada yang tidak tahu bagaimana rupa nyamuk sebab sudah terlalu lama tidak melihatnya.
Ke mana nyamuk pergi?
Tiada kajian saintifik rasmi yang dijalankan untuk mengkaji fenomena aneh ini. Namun, menurut kepercayaan penduduk, rahsia kampung mereka bebas nyamuk ini terletak pada sebuah batu berbentuk katak yang disembah oleh segelintir masyarakat di sana.
Bagi mereka, batu yang dianggap ‘dewa katak’ atau ‘katak suci’ itu adalah jelmaan roh pelindung yang menghalau segala makhluk penghisap darah – termasuklah nyamuk.

Sejak tersebarnya kisah kampung ini yang tiada nyamuk, ia telah menarik perhatian ramai pengunjung. Ada yang mempersoalkan tentang cerita tersebut. Tak kurang juga yang menolak mitos keajaiban batu katak itu, sebaliknya lebih suka melihat fenomena ini dari sudut fakta.
Antara teorinya mengatakan kebiasaan penduduk yang menguruskan sampah dengan cara menanamnya di kawasan bukit berhampiran telah memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kampung itu kekal bersih dan bebas pembiakan nyamuk.
Namun, secara logiknya, jika kampung bersih sekalipun, takkan langsung tiada nyamuk kerana persekitarannya masih kekal dengan kehadiran tumbuh tumbuhan, apatah lagi dikelilingi kawasan berbukit. Pelik, bukan?
Tiada pengesahan rasmi tentang ketiadaan nyamuk di desa Ding Wuling ini. Pengalaman pelancong yang pernah ke sana juga pelbagai. Ada yang mengatakan memang tiada nyamuk, dan ada pula yang memberitahu mereka tidak berada cukup lama di kampung tersebut untuk mengesahkan cerita itu.
Apa yang pasti, misteri ketiadaan nyamuk itu telah menjadi daya tarikan untuk desa ini mula dikunjungi ramai orang, sekaligus membuka pintu rezeki buat penduduknya.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

